suria

PBSNT Sifat Kerajaan Negeri Terengganu Prihatin

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada Isnin menyifatkan kerajaan negeri begitu prihatin meningkatkan kecahayaan lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Presidennnya Datuk Che Mat Jusoh berkata tindakan kerajaan itu adalah tepat pada masanya memandangkan pasukan bola sepak negeri Terengganu yang melakar sejarah buat pertama kalinya berjaya memasuki pertandingan Piala AFC, Mac tahun depan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata kerajaan negeri bersedia membaiki lampu limpah di stadium itu bagi membolehkan perlawanan Piala Liga dan Piala AFC diadakan pada waktu malam.

Keupayaan cahaya lampu limpah di stadium itu sekarang adalah 800 lux berbanding 1,400 lux yang diperlukan untuk pertandingan peringkat antarabangsa.

Che Mat berkata stadium yang berusia lebih 35 tahun itu tidak mempunyai kemudahan-kemudahan canggih yang diperlukan oleh sebuah stadium bola sepak pada masa kini.

"Kita agak malang kerana ada stadium baru (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) di Gong Badak, bumbung runtuh dan ia memerlukan masa yang agak lama untuk dibaik pulih," katanya di sini Isin.

Sehubungan itu, Che Mat berharap kerajaan negeri akan mengatasi masalah berkenaan bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak di negeri ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

PSNT Semarak Sepak Takraw Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain