suria

361 Pemain Bakal Beraksi Pada Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa

KANGAR: Sebanyak 361 pemain akan beraksi pada Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra/Perlis-MILO kali ke-31 selama lima hari di sini mulai Ahad ini.

Pengarah kejohanan, Cheng Joo Chong berkata 130 pemain antarabangsa dari sembilan negara dan 231 pemain tempatan mengesahkan penyertaan apabila tarikh penyertaan ditutup pada 13 November lalu.

Negara-negara yang mengesahkan penyertaan ialah Korea Selatan, Afrika Selatan, Indonesia, Turkmenistan, Jepun, Thailand, Singapura, Uzbekistan dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata kejohanan anjuran kerajaan Perlis dan Persatuan Tenis Perlis itu akan berlangsung di beberapa gelanggang sekitar Kangar.

Kejohanan kategori perseorangan lelaki dan perempuan serta beregu itu akan membabitkan acara-acara peringkat umur bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun.

Cheng berkata kejohanan remaja berprestij itu akan membuka laluan kepada para pemain tempatan untuk beraksi dengan para pemain luar negara tanpa mengeluarkan kos besar.

Di sektor pelancongan, kejohanan itu akan turut menggamit kehadiran para pelancong dalam dan luar negara ke Perlis sepanjang kejohanan itu yang secara tidak langsung mereka akan melawat beberapa destinasi pelancongan di negeri ini, katanya.

Jumlah penyertaan pemain turut menepati sasaran awal iaitu sebanyak 360 pemain tetapi yang telah berdaftar ialah 361 orang.

Beberapa pemain kebangsaan telah dilahirkan melalui kejohanan yang diperkenalkan sejak 31 tahun lalu itu termasuk pemain dua beradik, Andy Cheng dan Alfie Cheng serta Afizal Abu Othman.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Vettel Atasi Rekod Mansell

Artikel Lain