suria

Sukan Sea: Lawan Pedang Raih Emas Kedua

JAKARTA: Skuad lawan pedang negara menutup tirai acara itu dengan menyumbang satu pingat emas bagi acara Sabre berpasukan pada Sukan SEA ke-26 di Balairung Universitas Indonesia, kira-kira 30km dari sini, Jumaat.

Trio negara Muhammad Radhi Hasim, Yu Peng Kean dan Liong Ming Chang berjaya mengatasi cabaran pasukan Vietnam yang diwakili Vu Thanh An, Nguyen Van Quynh dan To Van Hop dengan keputusan 45-37.

Pengurus skuad kebangsaan Riduan Abdul berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian terbaik keseluruhan pemainnya kerana skuad ini hanya mensasarkan satu pingat emas menerusi acara individu seperti yang diharapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya lega kita telah mendapat satu lagi emas hari ini menjadikan dua emas secara keseluruhannya, dengan Joshua Koh menyumbang emas pertama dalam kategori Epee individu.

"Ia sekali gus melepasi sasaran yang kita buat dan juga harapan MSN juga tercapai," katanya.

Terdahulu, trio berpasukan negara mengalahkan Gian Carlo Nocom, Edmon Velez dan Eric Brando Ii dari Filipina dengan keputusan 45-33 pada saingan separuh akhir sementara pasukan Vietnam menundukkan Thailand, 44-43.

Secara keseluruhan, skuad negara merangkul dua emas dan lima gangsa.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas dalam acara itu ialah pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wushu Lelaki Hadiah Emas Pertama

Artikel Berikut

Acara Sukan Sea Ke-26, Khamis

Artikel Lain