suria

Sukan Sea: Buruan Pingat Emas Pertama Negara Bermula Hari Ini

JAKARTA: Selepas terlepas pingat dari acara kenu pada Jumaat, kontinjen Malaysia akan memulakan pemburuan pingat emas pertama pada Sabtu dengan keseluruhan 39 pingat ditawarkan pada hari kedua Sukan SEA di Indonesia yang akan berlangsung hingga 22 November ini.

Daripada 39 pingat emas tersebut, 17 melalui acara yang dipertandingkan di Jakarta sementara 22 di Palembang.

Bagi acara di Jakarta, kenu menawarkan tiga emas, taekwondo (7) dan karate (7) sementara di Palembang, renang (6), polo air (1), olahraga (11), gimnastik artistik (1), dan menembak (3).

Di Jakarta, atlet pertama yang dijangka meraih emas pertama dari temasya ini ialah atlet karate wanita, Jamalliah Jamaludin yang akan beraksi dalam acara kumite Atas 68 kilogram pada pukul 11 pagi ini di Stadium Tenis Tertutup di Senayan.

Sementara emas di Palembang mungkin diraih oleh atlet jalan kaki veteran wanita, Yuan Yu Fang yang kembali beraksi dalam acara kegemarannya, 20 km jalan kaki yang akan berlangsung di Stadium Olahraga Jaka Baring, pukul 6.30 pagi Sabtu.

Pada hari pertama temasya, Jumaat, skuad kenu negara gagal meraih sebarang pingat daripada lima emas yang ditawarkan.

Thailand kini mendahului kutipan pingat keseluruhan dengan meraih tiga emas dan satu gangsa, diikuti Indonesia (2,2,1), Myanmar (0,2,0), Singapura (0,1,2) dan Vietnam (0,0,1). Kesemua pingat hari ini diperolehi melalui acara kenu.

Pendayung Thailand, Wichan Jaitieng muncul sebagai atlet yang memenangi pingat emas pertama di temasya kali ke-26 yang diadakan di dua venue yang berasingan Jakarta dan Palembang, yang bermula secara rasmi pada Jumaat malam.

Sebanyak 542 pingat emas ditawarkan dari 43 acara, 21 di Palembang dan 22 di Jakarta.

Artikel Lain