suria

PBBM Sasar Satu Pingat Tanpa Kira Warna Di Mr Universe 2011

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) yakin skuad bina badan negara mampu meraih sekurang-kuranganya satu pingat tanpa mengira warna pada Kejohanan Bina Badan Dunia Mr Universe 2011 yang akan berlangsung di Melaka dari 9 hingga 14 November ini.

Setiausaha Kehormatnya, Kamaruzaman Kadir berkata keyakinan itu berdasarkan penyertaan beberapa atlet berpengalaman negara yang akan sama-sama turun padang bagi menyertai kejohanan itu.

"Sudah pasti sandaran pingat utama diletakkan pada pemegang enam kali gelaran Mr Universe, Sazali Abdul Samad yang akan mengepalai 15 atlet lain," katanya.

Beliau berkata selain Sazali, sandaran turut diletakkan pada atlet bina badan negara, Buda Anchah dan Wong Hong yang dijangka mampu mempamerkan aksi terbaik pada hari kejohanan nanti.

"Kesemua 16 atlet bina badan kita telah bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut dan mereka kini sedang giat menjalani latihan pusat di dua buah gimnasium sekitar ibu negara sejak seminggu lepas," katanya.

Kamaruzaman meminta semua atlet memberi tumpuan penuh kepada kejohanan dan melupakan seketika masalah yang dihadapi agar ia tidak mencacatkan persembahan nanti serta terus menjaga disiplin diri.

Kamaruzaman berkata seramai 104 atlet dari 27 negara mengesahkan penyertaan mereka dan saringan akan diadakan di Hotel Mahkota manakala pusingan akhir diadakan di pentas khas di kawasan tarikan pelancong di Jonker Walk.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain