suria

Tonton Bola Dengan PM, Peminat MU Tetap Gembira Walaupun Kalah

PUTRAJAYA: Kira-kira 300 pengikut Facebook dan Twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tetap gembira walaupun pasukan kegemaran mereka Manchester United (MU) kalah teruk 1-6 kepada Manchester City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam Ahad.

Nurul Asyikin Ismail dari Cheras, Kuala Lumpur, berkata kalah menang bukan persoalan apa yang lebih penting berpeluang menonton perlawanan bola sepak bersama Perdana Menteri.

"Tak sangka saya terpilih dan saya amat gembira sekali kerana berpeluang melihat secara dekat pemimpin yang saya kagumi," katanya ketika ditemui Bernama selepas menonton perlawanan itu bersama Perdana Menteri di Seri Perdana di sini.

Nurul Asyikin, 28, juga mengalu-alukan usaha murni itu yang pada anggapannya dapat mendekatkan lagi pemimpin dan rakyat. Mohd Salahuddin Zainal Abidin, 29, berkata pendekatan menonton bersama rakyat itu jelas memperlihatkan yang beliau pemimpin berjiwa rakyat.

"Perdana Menteri perlu lebih kerap buat acara seperti ini, dan kalau boleh akan datang ia dibuat di tempat yang lebih terbuka biar ramai lagi boleh turut serta," katanya.

K. Nagaratinam, 19, dari Kuala Lumpur yang sering mengikuti Twitter Perdana Menteri berkata, meskipun pasukan kegemarannya kalah tetapi beliau tetap gembira sebab berpeluang menonton bersama Perdana Menteri yang juga merupakan peminat setia kelab EPL itu.

Kesemua 300 rakan Facebook dan Twitter Najib berjaya dipilih secara rawak menerusi 2,500 permohonan yang diterima dalam tempoh 24 jam untuk menyaksikan perlawanan itu bersama Perdana Menteri. -BERNAMA

Artikel Lain