suria

Atlet Taekwondo Olimpik Berguru Di Korea Selatan

KUALA LUMPUR: Sepuluh atlet taekwondo negara akan menjalani latihan selama tiga minggu di Seoul bermula esok sebagai persediaan terakhir ke pusingan kelayakan Asia bagi Sukan Olimpik di London tahun depan.

Naib Presiden Taekwondo Malaysia, KM Rajendra, berkata skuad negara yang terdiri daripada empat atlet kategori A yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara, dan enam atlet kategori B yang dibiayai persatuan, akan berlepas malam Jumaat dan pulang ke tanah air pada 27 Oktober ini.

Selepas itu, mereka akan bertolak ke Bangkok bagi menghadapi pusingan kelayakan itu dari 4 hingga 6 Nov.

"Pada kejohanan itu nanti, kita berharap salah seorang daripada mereka akan terpilih ke London," katanya.

Antara atlet yang akan beraksi di Bangkok ialah Mohd Afifuddin Omar Sidek, Nurul Nadia Mahamat, Elaine Teo dan Ryan Chong.

Rajendra berkata selepas skuad selesai beraksi di Bangkok, atlet itu akan bersiap sedia pula untuk beraksi di Sukan Sea di Indonesia dari 12 hingga 22 Nov ini.

"Setelah selesai menjalani latihan di Korea dan beraksi di Bangkok nanti, saya harap atlet akan mampu untuk beraksi lebih cemerlang di Indonesia," katanya.

Seramai 14 atlet kebangsaan akan bersaing pada Sukan Sea ke-26 di Indonesia nanti.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain