suria

Tenis ATP: Davydenko Mara Ke Pusingan Kedua

KUALA LUMPUR: Bekas juara Nikolay Davydenko memulakan saingan Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia dengan mengatasi pemain muda Ryan Harisson dari Amerika Syarikat di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Selasa.

Davydenko, juara edisi 2009, menampilkan persembahan menarik untuk menundukkan lawannya berusia 19 tahun dengan 6-3, 6-2 dalam masa sejam 28 minit.

"Perlawanan ini amat memenatkan. Bukan mudah untuk mendapatkan mata daripada Harrison. Selepas separuh set pertama, saya mula rasa penat dan cuba melakukan apa yang terbaik untuk menang perlawanan ini," kata bekas pemain nombor tiga dunia itu.

Davydenko, 30, yang kini menduduki ranking ke-36 dunia, berkata beliau amat sukar untuk mengembalikan semula corak permainannya sebelum ini selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan tahun lepas.

"Saya cuba memaksa diri untuk cuba kembali semula tetapi kini saya lebih relaks dan menikmati perlawanan, sama seperti pada mula saya menceburi sukan ini," kata pemain Russia itu yang akan menentang pemain Poland Lukasz Kubot pada pusingan kedua Khamis ini.

Dalam satu lagi perlawanan, pemenang pusingan kelayakan, Rik De Voest dari Afrika Selatan membuat kejutan apabila mengalahkan pemain nombor 64 dunia, Ryan Sweeting dari Amerika Syarikat.

De Voest mengatasi Sweeting 4-6, 6-3, 6-3 untuk melangkah ke pusingan kedua.

Pemain lain yang layak ke pusingan kedua ialah pemain pilihan kelapan Kei Nishikori dari Jepun, pemenang emas Sukan Asia 2010, Somdev Devvarman dari India, Philipp Petzschner dari Jerman dan pemain Sepanyol, Albert Ramos.

Dalam acara beregu, gandingan negara Ahmed Deedat Abdul Razak/Ariez Elyaas Deen Heshaam akan membuka saingan dengan menentang Frantisek Cermak/Filip Polasek pada Rabu.

Manakala pemain negara Si Yew Ming, yang berpasangan dengan Harrison, akan menentang beregu pilihan kedua Eric Butorac (Amerika Syarikat)/Jean-Julien Rojer (Belanda). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wusyu Sasar Tiga Emas Sukan SEA

Artikel Berikut

Artikel Lain