suria

Silat:Singapura Azam Pertahan Juara Keseluruhan Piala TPM

KUALA LUMPUR: Singapura mahu mempertahankan gelaran juara Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana (TPM) edisi 2011 yang sedang berlangsung di Berjaya Times Square di sini.

Pengurus kontinjen Singapura, Hasizuddin Abdul Razak berkata misi pasukannya tetap untuk membawa balik sekali lagi piala pusingan itu walaupun menyedari cabaran lebih sukar dihadapi pada kali ini.

"Pastinya Malaysia merupakan saingan utama yang perlu kami hadapi memandangkan pasukan Malaysia mempunyai ramai pesilat yang hebat," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Hasizuddin berkata walaupun turun membawa sembilan pesilat kebangsaan, pasukan negara itu tidak memandang rendah pasukan lain terutama Malaysia dan Indonesia yang dibarisi pesilat yang hebat.

"Dengan berbekalkan latihan persiapan selama dua bulan bermula pada awal bulan Ramadan lepas saya berharap ia dapat membantu pesilat kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kontinjen Singapura, Dzulfadly Jaffar berkata beliau yakin dengan kemampuan anak didiknya namun meminta pesilatnya berhati-hati bagi mengelak daripada risiko kecederaan.

"Memandangkan Temasya Sukan SEA di Indonesia hampir tiba, saya meminta kesemua sembilan pesilat kebangsaan kami lebih berhati-hati ketika beraksi esok," katanya.

Beliau berkata sandaran pingat utama adalah pada pesilat wanita memandangkan mereka dilihat mempunyai lebih peluang pada edisi kali ini.

Kontinjen Singapura menjadi juara keseluruhan Kejohanan Pencak silat Antarabangsa Piala TPM edisi tahun lepas setelah meraih empat pingat emas dan satu gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain