suria

Seramai 1,000 Peserta Bakal Sertai Powerman Malaysia 2011

KUALA LUMPUR: Seramai 1,000 peserta dari lebih 30 negara dijangka menyertai pertandingan dualthon iaitu menggabungkan aktiviti larian dan berbasikal dalam satu perlumbaan iaitu Powerman Malaysia ke-10 tahun ini.

Pertandingan kelolaan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) itu, yang merupakan pusingan kelayakan Asia bagi Kejohanan Powerman Dunia di Zofingen, Switzerland, akan berlangsung di Seri Manjung, Perak pada 13 November ini.

Ketua Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Malakoff, Yusop Rashid berkata Kejohanan Powerman Malaysia tahun ini akan mengekalkan hadiah RM100,000 melibatkan 18 kategori.

"Sempena sambutan ulang tahun ke-10 kejohanan ini, kami akan memberi hadiah khas kepada peserta Malaysia yang sentiasa mengambil bahagian dalam siri ini," katanya pada pelancaran Powerman Malaysia 2011, di sini, Selasa.

Katanya sambutan dari peserta dalam dan luar negeri bagi kejohanan itu semakin meningkat setiap tahun bermula dengan 237 peserta dari 10 negara pada kejohanan sulung pada 2002 dan jumlah itu bertambah kepada 950 peserta dari 30 negara tahun lepas.

"Oleh kerana ini satu-satu pusingan kelayakan di Asia, maka lebih ramai peserta serius memburu tempat utama tahun ini," katanya,

Yusop berkata Powerman Malaysia merangkumi perlumbaan individu dengan 14 kategori manakala Malakoff Power Berganti-ganti mempunyai dua kategori kecil --lelaki berganti-ganti dan berganti-ganti campuran.

Manakala Malakoff Pecut Duathlon termasuk acara lelaki dan wanita.

Katanya acara individual dan berganti-ganti itu membabitkan larian sejauh 11km diikuti acara berbasikal sejauh 64km dan berakhir dengan larian 10km.

Manakala kategori Pecut pula, merangkumi larian sejauh 5,5km, berbasikal (32km) dan tamat dengan larian sejauh 5km.

Sementara itu, peserta veteran tempatan, Sahrom Abdullah, 32, yang mengetuai cabaran tempatan, berkata beliau berharap untuk merangkul kedudukan tiga tempat terbaik.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Juara-Juara

Artikel Lain