suria

Shaaban Sasar Kelompok 20 Terbaik Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional negara, Shaaban Hussin mensasarkan kedudukan 20 pemain terbaik pada edisi kedua CIMB Asia Pacific Classic Malaysia yang akan berlangsung di The Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan pada 27 hingga 30 Oktober depan.

Shaaban, 31, berjaya melayakkan diri buat kali kedua ke kejohanan golf berprestij itu yang mendapat pengiktirafan Jelajah Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA Tour) selepas menamatkan saingan pada sesi kelayakkan dengan mengumpul 10 pukulan di atas par 203 selepas tiga pusingan.

Sementara Mohd Hanafiah Jamil, S. Sivachandhran dan R. Nachimuthu berkongsi tempat kedua dengan lima pukulan di belakang Shaaban.

"Sememangnya saya sasar untuk tersenarai antara 48 pemain yang akan beraksi pada kejohanan bulan depan. Jadi, saya memang gembira dan permainan sepanjang sesi kelayakan berlangsung tidak begitu memberi tekanan.

"Tahun lepas saya hanya mampu berada di tempat ke-40 dan tahun ini saya berazam untuk berada dalam kelompok 20 pemain terbaik," katanya.

Kejayaan Shaaban itu membolehkan beliau menerima habuan berjumlah RM22,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perlawanan kelayakan itu membolehkan hanya seorang pemain profesional Malaysia bermain dalam kejohanan golf CIMB Asia Pacific Classic Malaysia.

Sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu, Shaaban berkata dia akan menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan Jelajah Asia (Asian Tour) sebagai persediaan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain