suria

KL Anjur Kejohanan Catur Antarabangsa Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Empat lagenda catur dan enam bakat muda akan bersaing pada Kejohanan Masters Jemputan Raja Nazrin Shah dan Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur di Swiss Garden Hotel dan Residences Kuala Lumpur dari 4 hingga 10 September ini.

Kejohanan tersebut akan menampilkan pusingan round robin Masters Jemputan dengan empat Grandmaster (GM) akan memburu gelaran dengan enam bakat muda berstatus International Masters (IM) termasuk harapan Malaysia, IM Mas Hafizulhelmi.

Empat GM veteran ialah Joseph Sanchez (Filipina), Nguyen Anh Dung (Vietnam), Tahir Vakhidov (Uzbekistan) dan Dr Wong Meng Kong dari Singapura.

Manakala enam IM termasuk Mas, 28, dari ASEAN ialah Oliver Barbosa, Richard Bitoon, Nguyen Van Huy, Goh Wei Ming dan Jahongir Vakhidov, yang memperoleh status IM pada Terbuka Kuala Lumpur tahun lepas.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, terdapat kategori Terbuka Antarabangsa dengan separuh daripada peserta merupakan pemain bertaraf antarabangsa.

Malaysia meletakkan sandaran kepada pemain remaja dengan juara kebangsaan Lim Zhou Ren, 18, menggalas cabaran negara diikuti juara lelaki bawah 14 tahun, Roshan Ajeet Singh dan juara perempuan bawah 14 tahun, Tan Li Ting serta juara bawah 10 tahun, pasangan adik-beradik Teh De Juan dan Teh De Zen.

Kejohanan tersebut akan ditentukan sembilan pusingan mengikut format Persekutuan Catur Dunia (FIDE) dengan peraturan masa 90 minit untuk 40 pergerakan diikuti 30 minit untuk baki perlawanan serta tambahan 30 saat setiap pergerakan bermula pergerakan pertama.

Kejohanan catur antarabangsa itu dianjurkan oleh Persatuan Catur Kuala Lumpur (KLCA) dengan penajaan dari Masterskill Education Group Berhad (MEGB) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Presiden KLCA Datuk Seri Edmund Santhara, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MEGB, berkata beliau bangaa untuk melihat lebih ramai anak muda tampil untuk menggilap kemahiran mereka dalan permainan catur.

"Masterskill teruja untuk melihat catur telah berkembang maju memandangkan kejohanan tahunan kali keempat ini telah menonjolkan bakat yang menakjubkan," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Kejohanan di bawah naungan Persekutuan Catus Malaysia (MCF) itu adalah didaftarkan dengan FIDE sebagai kejuaraan antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Lain