suria

Muhammad Nur Aiman Kembali Berlatih

KUALA LUMPUR: Setelah dua bulan berehat akibat cedera, atlet boling negara Muhammad Nur Aiman Khairuddin kini kembali berlatih dan tidak sabar beraksi di kejohanan Terbuka Kuala Lumpur pada 21 hingga 29 Oktober ini.

Beliau yang cedera di pergelangan tangan kiri, mula berlatih bersama skuad kebangsaan Isnin lepas.

"Kecederaan telah pulih sepenuhnya. Fokus saya sekarang adalah Terbuka Kuala Lumpur, dan pastinya saya mahu menang," katanya, Khamis.

Atlet berusia 23 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Terbuka Canon Mei lalu apabila dinobatkan juara kategori Masters lelaki.

Beliau juga membantu negara meraih perak dalam acara berpasukan lelaki pada Sukan Asia di Guangzhou tahun lalu, selain memenangi Kejohanan Klasik Selangor 2009.

Meskipun teruja dapat beraksi semula dan ingin segera meningkatkan momentum permainannya, Muhammad Nur Aiman terpaksa menangguhkan latihan buat seketika untuk menyambut Hari Raya Puasa minggu depan.

"Saya dan seluruh ahli keluarga akan berkumpul di Port Dickson hari raya ini, beraya sambil bercuti bersama," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Eto'o Menjadi Milik Anzhi

Artikel Lain