suria

MMER Jalin Hubungan Komersial Dengan Perlumbaan 'Gulf 12 Hours'

KUALA LUMPUR: Perlumbaan tahan lasak paling besar di Asia, Malaysia Merdeka Endurance (MMER), mencipta peristiwa penting apabila mewujudkan hubungan komersial dengan perlumbaan 'Gulf 12 Hours' di Litar Yas Marina, Abu Dhabi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sepang International Circuit (SIC) Datuk Ahmad Razlan Razali berkata jalinan kerjasama itu akan memastikan daya maju komersial bagi pasukan dan penganjur perlumbaan tahan lasak.

Berdasarkan keupayaan kedua-dua perlumbaan itu, kami menjangka peningkatan sekurang-kurang 20 peratus penyertaan pada perlumbaan itu, katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Menerusi jalinan kerjasama itu, SIC akan berkongsi kepakarannya selama 11 tahun menganjurkan MMER dengan penganjur 'Gulf 12 Hours'. Perlumbaan sulung 'Gulf 12 Hours' pada tahun ini akan bertindak sebagai jambatan sukan permotoran antara Eropah dan Asia dengan tujuan menarik lebih ramai pasukan dan pemandu di kedua-dua rantau itu.

Hubungan komersial yang dimeterai itu akan melihat perlumbaan saling sokongan dengan berkongsi hubungan komersial dan peluang serta bekerjsama dalam membangunkan peraturan yang membolehkan pasukan menyertai kedua-dua perlumbaan itu dengan mudah.

Perlumbaan MMER edisi ke-12 akan diadakan Litar SIC dari 15 hingga 17 Sept ini sempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

Perlumbaan tahunan itu mendapat perhatian pasukan dan pelumba antarabangsa dari siri perlumbaan tahan lasak dunia termasuk perlumbaan 24 Jam LeMans, Nurburgring dan Dubai.- BERNAMA

Artikel Lain