suria

Universiade: Harapan Skuad Bola Sepak Malaysia Ke Suku Akhir Terkubur

SHENZHEN: Harapan skuad bola sepak mahasiswa negara untuk melangkah ke peringkat suku akhir, terkubur setelah tewas 1-2 kepada Brazil pada perlawanan kedua kumpulan B di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) yang berlangsung di Shenzhen Bao'an Xixiang Sports Centre malam Ahad.

Dalam saingan kumpulan B, Malaysia diletakkan bersama Ukraine, Brazil dan Russia.

Pada seawal minit ketiga, Muhamad Nursalam Zainal Abidin mendapat peluang menjaringkan gol, namun gagal melakukan penyudah yang baik apabila teragak-agak ketika melakukan cubaan.

Kelonggaran benteng pertahanan Malaysia membuka peluang kepada Berger Jefersom menjaringkan gol pertama menerusi hantaran lintang Silva Ronaldo pada minit ke-20.

Pada babak kedua perlawanan, Silva Ronaldo sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-69 hasil kesilapan Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari, yang gagal mengawal benteng pertahanan Malaysia.

Gol saguhati pasukan negara disumbangkan Mohd Bunyamin Umar menerusi sepakan penalti pada minit ke-87 setelah Muhammad Afham Zulkipeli dijatuhkan dalam kotak penalti.

Untuk pusingan berikutnya, Malaysia dijadual bertemu Rusia pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain