suria

Norizman Tekad Buru Hatrik

SELEPAS meraih dua kemenangan berturut-turut di Putrajaya dan Teluk Intan, Norizman Ismail berhasrat untuk mencatat kejayaan ketiga pada perlumbaan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, hujung minggu ini.

Juara Expert 2005 itu tidak pernah mencatat kemenangan hatrik sejak penglibatannya dengan Cub Prix pada tahun 2003.

Dia hampir melakukannya pada tahun lalu apabila memenangi perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 3) dan Sepang Utara (Pusingan 4) namun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada perlumbaan berikutnya di Kuala Terengganu (Pusingan 5).

Pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu sekali lagi mahu mencuba untuk mencatat hatrik malah bukan hanya untuk pencapaian peribadi tetapi juga bagi pasukannya.

“Setakat ini dalam kategori Expert/CP130 hanya dua pelumba yang berjaya melakukannya iaitu Ahmad Fazli Sham pada 2008 ketika bersama pasukan Shell Advance Yamaha Maju Motor dan Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline pada tahun 2010.

"Saya berharap kali ini dapat menjadi pelumba Honda pertama yang berjaya mencatat hatrik dan meletakkan nama saya di dalam senarai rekod Kejuaraan Cub Prix,” kata pelumba 26 tahun itu.

Selepas lima pusingan, Norizman sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 79 mata. Pencabar terdekatnya ialah juara Expert 2007 dan 2008, Fazli dari pasukan Pennzoil Fastrac Racing yang mengumpul 52 mata dan Affendi di kedudukan ketiga dengan 51 mata sementara Azlan pula di tangga kelapan dengan 41 mata.

"Keinginan kuat saya untuk mencatat hatrik bukan hanya bagi melebarkan kejayaan saya di Cub Prix sebaliknya adalah untuk memungut seberapa banyak mata bagi mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan ketika ini.

"Sekarang saya mendahului Fazli sebanyak 27 mata dan saya mahu terus menjarakkannya lagi.

"Saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan dan gagal untuk memungut sebarang mata,” kata Norizman yang menamatkan saingan musim lepas di kedudukan kedua keseluruhan.

Peminat-peminat boleh menyaksikan siaran langsung di Astro Supersport 1 (811) dari jam 2.30 petang ke 4.30p petang Sabtu ini.

Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, www.malaysiancubprix.com

Artikel Lain