suria

Rajagobal Tidak Puas Hati Persembahan Anak Didiknya

KUALA LUMPUR: Kekalahan 0-4 ke atas Arsenal dalam perlawanan persahabatan siri jelajah Asia Arsenal malam Rabu sedikit sebanyak mencemaskan jurulatih negara Datuk K Rajagobal menjelang pertemuan menentang Singapura dalam pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2014 pada 23 Julai nanti.

Meskipun akur dengan keputusan perlawanan, beliau berkata corak permainan hambar dan kegugupan pemain ketika berdepan pemain "ternama" perlu dikikis untuk meraih kejayaan pada pertemuan peringkat antarabangsa seterusnya.

"Arsenal merupakan pasukan pada tahap yang berbeza, saya akur tetapi saya tetap tidak berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan pemain malam ini, mereka seperti gugup," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan. Malaysia tewas menerusi jaringan Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Thomas Rosicky.

Rajagobal berkata, kelemahan ketara bahagian pertahanan yang begitu gugup sepanjang perlawanan itu perlu diperbaiki segera dan keadaan itu akan diatasi menjelang perlawanan menetang sebuah lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu ini.

"Saya akan bertemu dan beri semangat kepada mereka dan saya harap perlawanan seterusnya, pemain akan lebih bersedia dan mengambil iktibar daripada aksi menentang Arsenal malam ini," katanya.

Ditanya mengenai keputusannya memasukkan Mohd Nasril Mat Nourdin sebagai penjaga gol utama Rajagobal berkata, tindakan itu bertujuan memberi pengalaman kepada Nasril sebagai persediaan sekiranya berlaku kecederaan ke atas dua penjaga gol utamanya.

"Saya jarang memberikannya peluang bermain, ini merupakan ruang kepada beliau mempamerkan aksi untuk persediaan menggantikan mana-mana penjaga gol utama yang tercedera," katanya.

Nasril digantikan oleh penjaga gol utama negara Khairul Fahmi Che Mat pada separuh masa kedua.

Sementara itu, pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, Malaysia mempamerkan sikap dan rentak permainan yang baik.

Walaupun, kalah, beliau percaya pasukan Malaysia boleh memperbaikinya dengan bermain dalam kejohanan antarabangsa.

"Walaupun terlepas peluang, saya fikir pasukan Malaysia bermotivasi dan tersusun, mereka boleh meningkat dan sudah mengagumkan saya terutama dari segi pertahanan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Vieira Gantung But

Artikel Berikut

ARSENAL 4 MALAYSIA 0

Artikel Lain