suria

Sukan (Karate): Kejohanan Karate Asia Platform Pilih 21 Peserta Ke Sukan SEA Indonesia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) akan memilih 21 peserta karate yang akan menggalas cabaran ke temasya Sukan Sea di Indonesia, November ini menerusi Kejohanan Karate Asia di Hong Kong dari 18-24 Julai.

Jurulatih kebangsaan P.Arivalagan berkata kejohanan itu merupakan platform buat atlet skuad karate untuk mempamerkan persembahan terbaik dan seterusnya melayakkan diri mewakili negara ke temasya dwi-tahunan itu.

"Daripada 40 atlet karate yang berpotensi ke Hong Kong itu, hanya 20 ataupun 21 atlet sahaja akan dipilih nanti. Namun ia bukanlah senarai akhir dan kami masih akan melihat prestasi semasa atlet karate negara sehingga saat akhir menjelang temasya itu.

"Tahun ini kita akan menghantar 'full squad' ke Indonesia untuk mencapai sekurang-kurangnya enam pingat emas yang disasarkan bagi menyamai jumlah pungutan di Laos, dua tahun lepas," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Kejohanan Kebangsaan Karate Terbuka Sekolah-Sekolah di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.

Kejohanan tahunan itu disertai kira-kira 500 peserta muda berumur dari lima hingga 23 tahun, termasuk enam kontinjen dari luar negara.

Arivalagan berkata bagaimanapun senarai nama 21 atlet tersebut perlu dibawa ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk keputusan akhir.

Katanya pemilihan senarai penuh 21 peserta yang akan ke Indonesia dibuat berdasarkan dua kategori iaitu tiga masing-masing lelaki dan wanita dalam kategori Kata manakala lapan peserta lelaki dan tujuh peserta wanita akan dipilih bagi kategori Kumite.

"Saya hanya memilih atlet yang terbaik untuk meraih emas negara dalam pentas itu dan saya telah melihat lima orang yang berpotensi setakat ini," katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan lima orang yang dimaksudkan itu.

Beliau berkata keputusan rasmi pemilihan atlet ke temasya itu akan dikeluarkan badan induk tersebut selewat-lewatnya dalam penghujung Julai nanti.

Sukan karate merupakan antara penyumbang utama pingat emas kepada kontinjen negara dalam pelbagai temasya, termasuk enam di Laos dua tahun lepas dan dua pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China pada Disember lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain