suria

Siapa Layak Terajui The Blues?

TANPA belas kasihan, kelab Chelsea telah mengambil keputusan memecatkan pengurusnya, Carlo Ancelotti selepas berakhirnya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyaksikan The Blues kalah 0-1 kepada Everton pada perlawanan terakhir liga pada Ahad.

Ancelotti dijangka akan bertemu dengan pihak tertinggi kelab untuk membincangkan kariernya bersama kelab ini selepas berakhirnya perlawanan terakhir ini, tetapi tanpa di duga, Ketua Eksekutif kelab, Ron Gourlay telah menunggunya di luar bilik media dan memberitahu bahawa tugasnya sebagai jurulatih Chelsea telah berakhir dengan serta merta.

Secara keseluruhannya, prestasi pasukan musim ini tidak seperti yang dijangkakan berbanding musim lalu yang merangkul kejayaan berganda (trofi EPL dan Piala FA) sekali gus turut meletakkan sasaran untuk mencipta nama di peringkat Eropah di bawah penguasaan Roman Abramovich selaku pemilik kelab ini.

Biarpun Abramovich tidak kelihatan ketika pasukannya menentang The Toffees di Goodison Park, dia sebenarnya mungkin sibuk mencari pengurus ketujuh pasukannya dalam tempoh lapan tahun di Stamford Bridge.

Apa yang pasti, di fikiran Abramovich sudah terdapat beberapa nama yang sesuai untuk menerajui The Blues menjelang musim baru nanti.

Antaranya;

Guus Hiddink (Turki)

Pengurus pasukan Turki ini pernah mengendalikan Chelsea untuk sementara waktu selepas Luiz Felipe Scolari dipecat pada tahun 2009. Hanya setahun bersama The Blues dia mengambil keputusan berundur diri untuk meneruskan komitmennya dengan pasukan Rusia. Namun sentuhannya ketika bersama Chelsea dianggap cemerlang berdasarkan keputusan pasukan di bawah kendaliannya. Hanya sekali kalah daripada 21 perlawanan, 15 menang, dan 5 seri. Pastinya di menjadi calon utama untuk menggantikan tempat Ancelotti.

Andre Villas Boas ( Porto)

Bekas anak buah Jose Mourinho ini turut menjadi perhatian selepas membawa pasukannya menjuarai Liga Portugal minggu lalu. Nilai untuk mendapatkan jurulatih berumur 33 tahun ini lebih kurang RM64 juta.

Marco van Basten (bekas jurulatih Ajax)

Bekas jurulatih Belanda (1983-1992) serta kelab Ajax (2008-2009) ini turut bermain difikiran Abramovich sebagai calon untuk menerajui Chelsea. Laporan media Portugal memberithu, van Basten bakal melatih pasukan Sporting musim depan. Namun berdasarkan rekod semasa, dia tidaklah sukses seperti pegurus lain kerana mengalami kekalahan ketika pusingan 16 pasukan Piala Dunia 2006 dan kalah pusingan kedua Euro 2008 serta gagal melayakkan diri ke kelayakan Liga Juara-Juara (CL) di Ajax.

Mark Hughes (Fulham)

Walaupun kontraknya bersama Fulham akan berakhir musim depan, namun dia bersedia untuk berbincang mengenai tawaran baru. Sebelum ini, pendekatan Hughes yang turut mengendalikan Manchester City (2008-2009) kurang disenangi menyebabkan dia berhenti selepas lebih kurang 18 bulan bersama kelab itu.Persoalannya kini, mampukah Hughes membawa kejayaan dalam masa terhad kepada The Blues. Berdasarkan rekod sebelum ini, dua pasukan yang pernah dikendalikannya iaitu Wales dan Blackburn telah mencapai keputusan yang baik, tetapi menggunakan masa yang agak panjang.

Harry Redknapp (Tottenham Hotspur)

Kontrak bersama Spurs masih lagi berbaki sehingga 2013. Dia seorang jurulaih yang dianggap peramah, penyayang, namun mempunyai percaturan permainan yang bijak. Spurs dilihat semakin meningkat sejak Rednapp mengambil alih pasukan ini, namun masih gagal mencapai sebarang kejuaraan dalam tempoh 30 tahun. Mahir dalam perbabitan bola sepak Inggeris, namun dianggap cetek pengalaman pada aksi Eropah.

Artikel Lain