suria

Mohd Affendi Catat Masa Terpantas Sesi Ujian Masa

KUALA TERENGGANU: Pelumba negara Mohd Affendi Rosli mencatat masa terpantas sesi ujian masa bagi kategori CP130 dalam pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di Litar Gong Badak, di sini, Jumaat.

Pelumba pasukan TEQ SCK Honda Racing itu membuktikan kehebatannya selepas berjaya merekodkan masa terpantas dengan catatan 41.897 saat mengatasi sembilan lagi pencabar yang lain dalam perlumbaan superpole bagi sesi kelayakan.

Masa kedua terpantas menjadi milik Azlan Shah Kamaruzaman dari TEQ SCK Honda Racing dengan catatan 41.990 saat manakala Ahmad Fazrul Sham dari Penzoil Fastrac Racing ketiga dengan catatan 42.011 saat.

Menurut Affendi, kejayaannya mencatat masa terpantas itu menyuntik semangat baru kepadanya untuk menebus kekecewaan pada perlumbaan pusingan kedua di Batu Kawan, Pulau Pinang, bulan lepas.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk saya buktikan kemampuan sebenar dan menebus kembali kekecewaan selepas kemenangan saya di Batu Kawan dibatalkan.

"Saya berharap Litar Gong Badak ini akan membawa tuah kepada saya dalam misi meraih kedudukan podium pertama selepas tiga perlumbaan," katanya.

Dalam perlumbaan siri kedua di Batu Kawan, pelumba kelahiran Sungai Buloh itu gagal menaiki podium sekali pun berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas dikenakan penalti 30 saat kerana masalah teknikal.

Keputusan itu telah meletakkan pelumba berusia 26 tahun jatuh ke tangga kelapan dan kini hanya menduduki tangga keenam keseluruhan kategori CP130 dengan 21 mata.

Affendi juga gagal menaiki podium pada pusingan pertama di Kangar selepas menamatkan perlumbaan dengan hanya mendududki tangga keempat.

Selepas dua pusingan, kedudukan pendahulu kategori CP130 kini dikuasai Ahmad Fazli Sham dengan 33 mata, diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) dengan 31 mata.

Dalam pada itu, sesi ujian masa kategori CP115 menyaksikan penguasaan pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM, Mohd Hafieenas Mohd Ali manakala tempat kedua menjadi milik Md.

Rozaiman Md Said dari Motul Yamaha YY Pang, sementara rakan sepasukan Hafieenas, Shahril Izuwan Mohd Noor di tempat ketiga. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain