suria

Lapan Petinju Ikuti Latihan Intensif Di Patiala Sebelum Sukan Sea Indonesia

KUALA LUMPUR: India menjadi destinasi pilihan bagi lapan petinju negara membuat persiapan sebelum menghadapi Sukan SEA ke-26 di Indonesia dari 11 hingga 25 November ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Maulud Othman, berkata skuad negara akan menjalani latihan intensif selama 20 hari di Patiala, Punjab, India, sebelum memulakan misi memburu satu pingat pada temasya dwitahunan itu.

Skuad negara dijangka berlepas ke India pada pertengahan September dan rancangan latihan itu telah dipersetujui oleh Majlis Sukan Negara (MSN), katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Maulud berkata lima petinju yang menyertai temasya Sukan Arafura di Darwin, Australia, Sabtu ini, dijangka terpilih menyertai latihan di India.

Mereka ialah Mohd Farhan Mohd Haron yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Laos dalam kategori 69 kg, Mohd Fuad Redzuan (49kg), Mohd Fairuz Azwan Abdullah (75kg) dan Mohd Khir Azlan Azli (64kg) dan Mohd Sabri Khamis dalam kategori 50kg.

Beliau berkata semasa latihan di Patiala, petinju negara akan mengadakan sesi rakan selatihan dengan petinju kelab dari seluruh India yang turut mengikuti latihan di wilayah itu. - BERNAMA

Artikel Lain