suria

KOAM Kenal Pasti 38 Kejohanan Antarabangsa Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) telah mengenal pasti 38 kejohanan antarabangsa dan beberapa negara Eropah seperi Bulgaria, Jerman dan Slovakia sebagai medan untuk atlet negara mengikut latihan dan pertandingan sebelum menghadapi Sukan SEA di Indonesia, November ini.

Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata alet diberi kelonggaran untuk memilih kejohanan yang difikirkan sesuai untuk diri mereka dan badan induk itu kemudian akan mengemukakan pilihan itu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Langkah terbaru KOAM itu diambil berikutan kegagalan program latihan atlet dari persatuan itu di Kompleks Sukan Ranau di Sabah, akibat kekurangan kemudahan asas.

Bagaimanapun, KOAM akan tetap meneruskan rancangan untuk menjadikan kompleks itu sebagai pusat latihan olahraga selepas semua kemudahan disiapkan, katanya pada sidang media di Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini, Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahidan berkata setakat ini enam atlet telah berjaya melayakkan diri ke Sukan SEA di Indonesia dari 11 hingga 25 November ini.

Mereka adalah iaitu atlet lompat tinggi Lee Yup Hee, Roslinda Samsu (lompat bergalah), Norasheela Khalid (400m lompat pagar), Loo Choon Sieng (jalan kaki), Teoh Boon Lim (jalan kaki) dan Tan Song Hwa (lontar tukul besi).

"Proses kelayakan masih berjalan. Dijangka ramai lagi atlet termasuk alet remaja akan melepasi tahap kelayakan ke Sukan SEA nanti," katanya.

Selain itu, lapan atlet akan mengikuti Kejohanan Balapan dan Padang Asia di Kobe, Jepun pada 7 hingga 10 Julai ini.

Mereka adalah Roslinda, Loo, Norasheela dan pelari-pelari 100m dan 4x100m, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir, Yee Yi Ling, Siti Zubaidah Adabi dan Siti Fatimah Mohamad.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain