suria

Mohd Shahrul Ungguli Sirkit Ketiga Berbasikal GP Kebangsaan

MELAKA: Pelumba handalan negara Mohd Shahrul Mat Amin dari pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) menjuarai sirkit ketiga Kejohanan Berbasikal Grand Prix Kebangsaan 2011.

Mohd Shahrul mencatat masa 4 jam 00 minit 55.281 saat dalam perlumbaan tujuh pusingan sejauh 156km bermula di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini.

Ketika ditemu bual Bernama, Mohd Shahrul ternyata gembira dengan pencapaiannya dan berharap kemenangan itu dapat menguatkan lagi semangat pelumba pasukan TSG yang baru ditubuhkan Disember tahun lepas.

Mohd Shahrul bertindak bijak pada 40km terakhir dengan melakukan pecahan daripada kumpulan utama sebelum pelumba Angkatan Tentera Malaysia, Mohd Zambri Salleh mengejar Mohd Shahrul dan bersaing pada lima kilometer terakhir.

Mohd Zambri terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 4'00:57.67s dan Mohamad Aim Mohamad Fauzi mewakili Pahang meraih tempat ketiga dengan masa 4'04:25.516s pada perlumbaan yang disertai 83 pelumba itu.

Bagaimanapun, seorang lagi pelumba handalan negara Anuar Manan dari pasukan TSG hanya mampu menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 4'07:21.22s.

Kategori wanita menyaksikan "permata baru" berbasikal negara Jupha Somnet yang memenangi enam pingat pada Kejohanan Asia 2011 di Korat, Thailand, Februari lepas, mengungguli kategori itu dengan catatan masa 3'18:58s.

"Saya baru pertama kali menyertai kategori elit, sebelum ini saya dalam kategori remaja. Saya amat gembira menang pada penampilan pertama kategori ini," katanya.

Perlumbaan empat pusingan sejauh 104km itu disertai 43 pelumba dan menyaksikan pertarungan sengit 12 pelumba apabila kesemua pelumba itu mencatat masa yang sama.

Strategi pelumba pertama mengambil selekoh terakhir dan memecut pada saat akhir memberikan kemenangan kepada Jupha yang mewakili pasukan pelapis kebangsaan menerusi keputusan "photo-finish".

Jupha menewaskan seorang lagi rakan sepasukan Mariana Mohamad yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan pelumba berpengalaman Masziyaton Mohd Radzi mewakili Kedah di tempat ketiga.

Seorang lagi pelumba pasukan pelapis kebangsaan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri meraih tempat pertama dalam kategori remaja lelaki dengan catatan masa 2'42:54.005s.

"Bukan mudah untuk saya memenangi kategori ini kerana terpaksa bersaing sengit dengan dua lagi pelumba yang cukup saya kenali, beza masa antara kami bertiga pun tidak sampai satu saat," katanya dalam perlumbaan yang disertai 128 pelumba itu.

Tempat kedua di raih pelumba daripada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Mohamad Al Azani Zainal dengan masa 2'42:54.05s dan seorang lagi pelumba pelapis kebangsaan Hamdan Hamidun di tempat ketiga dengan masa 2'42:54.151s.

Pelumba berbakat negara Mohd Afiq Huznie Othman yang mewakili Terengganu bagaimanapun hanya mampu berada di tempat ke-14 dengan mencatat masa 2'49:2.074s pada perlumbaan empat pusingan sejauh 104km itu.

Persaingan sengit antara pelumba hari ini dijangka berulang pada kejohanan Piala Ketua Menteri yang akan berlangsung esok dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijadual melepaskan pelumba pada kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain