suria

Theiviya Galas Cabaran Negara Pada Tenis Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain remaja S. Theiviya terpilih untuk menggalas cabaran negara pada Kejohanan Tenis Wanita BMW Terbuka Malaysia 2011 di Kelab Equestrian Bukit Kiara di sini mulai Sabtu ini hingga 6 Mac ini.

Beliau, yang terpilih melalui slot 'wildcard', berkata kejohanan ini juga akan menjadi sebahagian daripada persediaannya untuk menjadi pemain profesional pada masa depan.

"Saya telah menjalani latihan intensif selama dua bulan di Barcelona, Sepanyol, pada awal September lalu dan kini saya merasakan mendapat semangat baru untuk menyertai kejohanan ini.

"Saya berasa gembira dapat bermain dengan jaguh antarabangsa namun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana pemain yang menyertai kebanyakannya bertaraf professional serta merupakan jaguh dunia yang kuat," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya beliau akan berusaha sedaya upaya membuat kejutan buat negara dalam mengharungi cabaran itu. Theiviya, 19, yang merupakan anak kepada bekas jurulatih tenis negara, S. Selvaraju, berkata beliau telah mendapat latihan dari ayahnya setiap hari dari pukul 4 petang hingga 7 malam.

Selepas kejohanan ini, beliau akan menyertai Kejohanan Sirkit Junior ITF di Bandar Seri Begawan, Brunei pada 8 hingga 13 Mac dan kejohanan Piala Ketua Menteri ke-17 di Sarawak dari 15-20 Mac.

Sementara itu, bapanya berharap anaknya mampu membuat penampilan yang terbaik biarpun diisi dalam slot 'wildcard' bagi mencari pengalaman.

"Tahun ini, Theiviya akan menyertai 18 pertandingan dari dalam dan luar negara dan saya mahu memberinya pendedahan agar satu hari nanti negara akan mempunyai pemain wanita yang sebaris dengan pemain antarabangsa," katanya.

Sejumlah 32 pemain perseorangan dan 16 pemain beregu akan mengambil bahagian dalam pertandingan kalah mati ini yang menawarkan hadiah wang tunai US$220,000 (RM670,000).

Tahun lalu pemain Rusia, Alisa Kleybanova menjuarai kejohanan perseorangan sementara pasangan beregu Chang Yun-jan dari Taiwan dan Zheng Jie dari China menang kategori beregu.

Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan Persatuan Tenis Wanita (WTA) itu buat kali kedua selepas tahun lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain