suria

Tujuh Calon Rebut Kerusi Naib Presiden KOAM

KUALA LUMPUR: Tujuh orang mencalonkan diri untuk bertanding bagi merebut dua kerusi Naib Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk penggal 2010-2012, manakala tiga orang menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut dua kerusi ahli majlis eksekutif badan induk olahraga itu.

Yang akan bertanding bagi jawatan naib presiden ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet (Yakeb) Datuk Mumtaz Jaafar; Pengarah Pusat Latihan Prestasi Tinggi (HPTC) Asia, Mohd Musa Noor Mohd; Rajemah Sheikh Ahmad; On Mohd Yasin; Kolonel Kamarul Fauzi Mohd Said; Mohamad Awang dan John Aguru.

Wakil Jawatankuasa Pemilihan KOAM S.Vegiyathuman berkata senarai calon bagi jawatan naib presiden dan ahli majlis ekskutif badan itu diketahui hari ini selepas sampul pencalonan bagi kedua-dua jawatan dibuka hari ini memandangkan semalam adalah cuti sempena Thaipusam.

Pencalonan bagi pemilihan tahunan KOAM ditutup semalam.

Vegiyathuman dalam sidang media hari ini berkata ketujuh-tujuh mereka layak bertanding jawatan naib presiden kerana masing-masing mendapat satu pencalonan minima.

Beliau berkata jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Mumtaz dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor K.Yogeswaran.

Bagi kerusi ahli majlis tiga calon yang menawarkan diri untuk bertanding termasuklah dirinya sendiri, C.Chinethamby dan John Aguru.

Selain Vegiyathuman, Setiausaha Persatuan Olahraga Negeri Sembilan S.Chinathamby adalah ahli majlis eksekutif KOAM sebelum ini.

Beliau berkata KOAM akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan pada 29 Januari ini.

Datuk Seri Shahidan Kassim pula dapat mempertahankan jawatan sebagai Presiden KOAM buat penggal ketiga berturut-turut selepas beliau tidak dicabar pada pemilihan badan induk olahraga itu.

Bekas Menteri Besar Perlis itu mendapat tujuh pencalonan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Beregu Utama Negara Kecundang

Artikel Lain