suria

Sukan Para Asia Ditutup Dengan Meriah

GUANGZHOU: Temasya Sukan Para Asia edisi pertama, yang berlangsung sejak sembilan hari lepas, melabuhkan tirainya dengan persembahan bunga api dan kebudayaan tempatan yang menarik di Stadium Utama Aoti di sini, malam Ahad.

Lebih 10,000 penonton yang membanjiri stadium itu disajikan dengan persembahan kebudayaan 'Love in Four Seasons' diikuti lintas lalu 31 kontinjen negara yang mengambil bahagian dalam Sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) kedua terbesar di dunia itu.

Kontinjen negara yang berpakaian sukan dengan tema 'Harimau Malaya' memasuki stadium diketuai chef de mission Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz diikuti 128 atlet paralimpik negara.

Atlet powerlifting senior negara P.Mariappan diberi penghormatan membawa jalur gemilang.

Malaysia berjaya mengumpul 45 pingat iaitu sembilan emas, 13 perak dan 23 gangsa pada kejohanan itu.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal tempatan Cao Fujia, Huang Zheng, Xu Yang dan Shi Peng, diikuti acara kemuncak yang merupakan persembahan ratusan kanak-kanak bertajuk 'You Make the World Different' selama 40 minit.

Sebagai menghargai sumbangan 500,000 sukarelawan yang terlibat menjayakan kejohanan itu, satu acara khas iaitu majlis penyerahan bunga oleh kanak-kanak kepada mereka turut diadakan.

China, tuan rumah kejohanan kali ini, muncul juara keseluruhan dengan kutipan 391 pingat iaitu 185 emas, 118 perak dan 86 gangsa, manakala Jepun di tempat kedua dengan 32 pingat emas, 39 perak dan 32 gangsa.

Korea Selatan yang bakal beraksi sebagai tuan rumah Sukan Para Asia edisi kedua pada 2014, di tempat ketiga apabila mengumpul 103 pingat.

Sebanyak 45 negara menyertai temasya itu yang menyaksikan 5,500 atlet paralimpik bersaing merebut pingat dalam 19 jenis acara sukan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Daniel Bego Rangkul Dua Emas

Artikel Lain