suria

Pelumba Negara Cari Kekuatan Di Tasik Qinghai

KUALA LUMPUR: Aksi menarik skuad Hong Kong dan China pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou meyakinkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) agar segera menghantar pelumba negara berlatih di kawasan altitud tinggi di Qinghai Lake demi memburu kejayaan di Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011).

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab menjelaskan beliau terperanjat melihat keupayaan China dan Hong Kong membentuk pasukan kejar-mengejar serta pemecut berkualiti dalam masa yang singkat ketika bulan lalu.

Katanya, beliau secara peribadi telah bertanya kepada Persatuan Berbasikal China (CCA) dan Persatuan Berbasikal Hong Kong (HKCA) tentang resepi kejayaan mereka di Guangzhou baru-baru ini.

“Jawapan mereka adalah hantar pelumba anda (Malaysia) berlatih di Qinghai Lake kalau mahu berjaya seperti kami,” katanya yang menyambut ulangtahun kelahiran ke-69 semalam dalam satu kenyataan, Selasa.

Abu Samah menjelaskan Tasik Qinghai atau Kukunor dalam bahasa Mongolia yang membawa makna Tasik Biru adalah tasik terbesar di China dan ia terletak kira-kira 100 kilometer di barat ibu kota Wilayah Xining.

“Apa yang menarik tentang Qinghai Lake ialah ia berada 3,205 meter di atas paras laut. Keadaan altitud tinggi ini akan menyebabkan pelumba akan keletihan sehingga terpaksa menggunakan kadar tenaga yang banyak.

“Bagaimanapun, mereka tidak akan cepat letih apabila kembali ke kawasan rendah. Saya difahamkan ia ada kaitan dengan jantung dan penggunaan oksigen. Justeru, buat permulaan persatuan mungkin hantar empat pelumba berlatih beberapa minggu sebelum bermulanya LTdL 2011.

“Tetapi, kami akan mengkaji perkara ini dengan teliti agar ia tidak bercanggah dengan cadangan jurulatih baru, Graham Seers yang mahukan pelumba berlatih di Colorado, Amerika Syarikat kerana keadaan muka bumi di sana bergunung ganang.

“Saya fikir Jawatankuasa Lebuh Raya MNCF yang diketuai Amrun Misnoh mampu untuk memikir dan mencetuskan sesuatu kerana kekurangan pendaki kuat dikenalpasti punca kelemahan pasukan kebangsaan Malaysia,” katanya.

Antara pelumba yang dipercayai bakal mencuri perhatian panel pemilihan ialah Muhammad Nur Rizuan Zainal, Muhammad Rauf Nur Misbah, Ahmad Fakrullah Alias dan Suhardi Hassan.

Sebelum ini, Seers yang bakal bertugas pada 1 Januari ini mencadangkan pelumba negara dihantar berlatih bebeberapa bulan di Colorado dipercayai bermula April tahun depan iaitu selepas Kejohanan Lumba Basikal Asia 2011 (ACC 2011) di Korat, Thailand.

Bagaimanapun, cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2011, Mohamed Salleh yang mahukan PKBM segera membentuk pendaki berkaliber untuk berkayuh pada kejohanan edisi ke-16 tahun menyebabkan persatuan kembali menyemak semula cadangan ke Colorado.

“Cadangan ke Qinghai Lake umpama pelan B kepada pelan A (Colorado). Kalau kita ke Qinghai Lake ia bukan bermakna pelan ke Colorado terbatal. Kita sekadar memperbanyakkan pilihan untuk meningkat kualiti pendakian pelumba negara,” katanya.

Artikel Lain