suria

Dari Formula Future, Syazwan Sasar Formula Satu

KUALA TERENGGANU: Selepas beberapa kali muncul sebagai juara dunia dalam kejohanan bot laju Formula Future, Syazwan Mohd Nor menyimpan impian untuk memandu jentera Formula Satu (F1) dalam tempoh tujuh tahun lagi.

Impian pelajar tingkatan dua Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya itu dikongsi ayahnya Mohd Nor Mohd Ariffin, yang yakin anaknya mampu berbuat demikian bersandarkan kepada pencapaian remaja tersebut dalam perlumbaan go-kart.

"Syazwan terpaksa melupakan sukan go-kart selama tiga tahun sebelum ini disebabkan ketiadaan penajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan penajaan, di sini Ahad.

Pada majlis tersebut, anak kelahiran Terengganu itu menerima tajaan syarikat sekolah memandu PSM sebanyak RM50,000 dan Kosmo & Resources Sdn Bhd sebanyak RM10,000. Mohd Nor berkata penajaan itu akan membolehkan Syazwan menyertai beberapa siri pertandingan go-kart di luar negara tahun depan.

Remaja itu yang menyertai pasukan Plus Gp Racing kini dibimbing John King, iaitu bekas jaguh go-kart, selain turut menerima tunjuk ajar daripada pelumba muda negara Nabil Al-Jefri.

Syazwan sebelum ini pernah muncul juara dunia Formula Future 2005, 2006 dan 2007 yang masing-masing diadakan di Lisbon, Portugal; Catania, Itali dan Leer, Jerman.-BERNAMA

Artikel Lain