suria

Jol Tinggalkan Ajax

AJAX mengesahkan pengurus Martin Jol (gambar) meninggalkan kelab atas persetujuan bersama, meninggalkan kelab itu di tempat keempat dalam carta kedudukan Eredivise, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu PSV Eindhoven.

Pengurus berusia 54 tahun itu menyertai Ajax pada 2009 dari kelab Jerman, SV Hamburg dan pasukan itu menamatkan saingan di tempat kedua pada musim pertamanya, memenangi Piala Belanda dan mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

Jol yang dikaitkan dengan perpindahan ke Newcastle United memulakan karier kejurulatihannya bersama kelab Belanda, Roda JC Kerkrade dan RKC Waalwijk sebelum menyertai Tottenham Hotspur sebagai pengurus.

"Saya sedih untuk meninggalkan kelab ini. Musim panas lalu, kami bermula dengan baik tetapi saya sedar harapan peminat terlalu tinggi, kali ini.

"Kami tidak dapat memenuhi harapan itu dan ia amat menyakitkan. Kritikan pedas yang diterima memberi kesan kepada pasukan dan pemain," kata Jol.

Bekas pemain kebangsaan Belanda, Frank de Boer yang juga pembantu kepada pengurus Belanda, Bert Van Marwijk akan mengambil alih kerusi yang ditinggalkan Jol sehingga cuti musim sejuk bermula 24 Disember ini.

Ajax akan bertemu AC Milan pada aksi Liga Juara-Juara Eropah, Rabu dan memerlukan kemenangan untuk menempah tiket ke Liga Europa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain