Shun Ting-Teck Hua Mara Ke Suku Akhir Bola Tampar Pantai - Sukan | mStar

Shun Ting-Teck Hua Mara Ke Suku Akhir Bola Tampar Pantai

GUANGZHOU: Gandingan Beh Shun Ting dan Luk Teck Hua mara ke peringkat suku akhir acara bola tampar pantai wanita di Sukan Asia ke-16, di sini Sabtu.

Pada pusingan kedua yang berlangsung di venue Bola Tampar Pantai Guangzhou, Shun Ting dan Teck Hua menewaskan pemain pilihan keenam kejohanan iaitu gandingan pertama Kazakhstan, Irina Tsimbalova dan Tatyna Mashkov dengan 21-19 dan 21-15 dalam tempoh 38 minit.

Irina dan Tatyana adalah pemenang tempat kedua Kejohanan Bola Tampar Asia di Haiku, China pada Julai lepas, di mana Malaysia hanya menamatkan saingan di tempat kesembilan.

"Corak permainan mereka lebih baik hari ini. Keadaan mental mereka lebih stabil kerana turun ke gelanggang dengan lebih tenang dengan tidak memikirkan soal untuk menang.

"Ini adalah pencapaian terbaik mereka di Sukan Asia. Sekiranya berjaya melangkah masuk ke peringkat separuh akhir, ia adalah bonus kepada pemain-pemain kita," kata jurulatih, Lim Poh Hong.

Shun Ting dan Teck Hua, yang diletakkan sebagai pilihan ke-11 kejohanan, akan bertemu gandingan kedua Jepun dan pilihan ketiga kejohanan, Satoko Urata dan Takemi Nashibori.

Sebelum ini, Satoko dan Takemi melangkah ke peringkat suku akhir esok selepas dengan mudah mengalahkan pemain-pemain dari Timor Leste, Alianca dan Mariana, 21-1 dan 21-3.

Menyentuh mengenai pertemuan peringkat suku akhir esok, Lim berkata standard permainan gandingan kedua dari Jepun itu adalah lebih kurang sama dengan pemain-pemain Malaysia.

"Mereka (Satoko dan Takemi) tidak mempunyai kekuatan dari segi serangan dan tampanan seperti pemain Kazakhstan (Irina dan Tatyana). Berdasarkan kepada pertemuan sebelum ini, pemain-pemain Jepun ini mempunyai kelebihan dari segi pertahanan dan terimaan.

"Bagaimanapun, saya menjangkakan pertemuan suku akhir esok adalah sengit. Peluang untuk pemain Malaysia adalah tinggi sekiranya mereka bermain dengan semangat juang yang tinggi seperti mana yang ditunjukkan hari ini," katanya.

Pada saingan bola tampar pantai di Sukan Asia Doha, empat tahun lepas di Qatar, Shun Ting yang bergandingan dengan kakak Teck Hua, Luk Teck Eng menamatkan saingan sekadar di tempat ketujuh keseluruhan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Pemain Ragbi Malaysia Diuji Positif Kanabis

Artikel Berikut

Skuad Pelayaran Raih Dua Perak, Satu Gangsa

Artikel Berkaitan

default image

Indra Putra Mahayudin Bakal Sertai T'Team

default image

Skuad Goalball Sasar Lima Pasukan

Artikel Lain