suria

Sukan Asia: Azizulhasni Layak Ke Separuh Akhir Pecut 200m Individu

GUANGZHOU: Pelumba negara Mohd Azizulhasni Awang menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan pelumba Iran Hassanali Varposhti dalam acara individu pecut 200m lelaki pada Sukan Asia ke-16 di sini, Isnin.

Dikenali dengan gelaran 'Pocket Rocketman', Mohd Azizulhasni, yang menang kedua-dua perlumbaan hari ini, mencatatkan 10.781 saat pada perlumbaan pertama dan 10.928s pada perlumbaaan kedua menentang pelumba Iran itu.

Saingan separuh akhir akan berlangsung di Velodrom Guangzhou esok manakala perlumbaan akhir pada Rabu ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu akan berdepan dengan juara bertahan Zhang Lei dari China dan dua pelumba Jepun, Kitatsuru Tsubasa dan Nitta Yudai.

Sementara itu, pelumba Fatehah Mustafa gagal ke perlumbaan final acara pecut 200m wanita selepas tewas kepada pelumba Korea Selatan, Kim Wongyeong.

Fatehah kini akan bersaing dalam acara repecharge Rabu ini dalam menentukan tempat kelima hingga kelapan.

Dalam acara pecut berpasukan lelaki, skuad negara terdiri daripada Mohamad Akmal Amrun, Muhamad Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Mohd Rizal Tisin tewas kepasa pasukan Iran dan akan bersaing dalam acara repecharge.

Skuad negara mencatatkan masa 4 minit 18.596 saat manakala pelumba Iran, Alireza Haghi Abbas Saeditanha, Mehdi Sohrabi dan Zargari mencipta masa 4:15.225s.

Pengurus pasukan Datuk Datuk Naim Mohamad berkata beliau kecewa dengan kekalahan Fatehah selepas dia menjadi sasaran pingat gangsa.

"Kini terpulang kepada Mohd Azizulhasni dan Josiah Ng untuk mendapatkan emas dalam acara berbasikal," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain