suria

Kejohanan Sukan Paralimpiad Ke-15 Di Melaka Bulan Depan

MELAKA: Sukan Paralimpiad Malaysia ke-15 untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) akan diadakan di Melaka dari 21 hingga 26 November ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Lt. Komander (B) Kamaruzaman Kadir.

Beliau berkata seramai 2,000 atlet dan pegawai mewakili 15 kontinjen akan terlibat dalam temasya sukan dwi-tahunan yang pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur. Seramai 1,200 sukarelawan dan 400 pegawai teknikal akan turut menjayakan temasya sukan itu yang mempertandingkan 1,101 pingat dalam 351 acara, katanya.

Katanya sebanyak 16 jenis sukan dipertandingkan iaitu olahraga, badminton, boccia, angkat berat, perahu layar, boling padang, renang, ping pong, tenpin boling, tenis kerusi roda, catur, goalball, futsal, petanque, berbasikal dan bola keranjang kerusi roda.

Katanya temasya sukan itu dibahagikan kepada enam kategori kecacatan iaitu OKU anggota, OKU penglihatan, Spastik, OKU Akal, OKU Pendengaran dan Kerdil.

Yang diPertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dijadual merasmikan majlis pembukaan sukan tersebut.

Temasya itu melibatkan 16 venue pertandingan iaitu Kompleks Sukan Hang Jebat di Krubong untuk acara olahraga, renang, boling padang dan goalball, Stadium Mini Bestari di Ayer Keroh (boccia), Jabatan Laut Malaysia, Kompleks Pejabat Pelabuhan dan Marina Awam Melaka (perahu layar), Kompleks Tenis Hang Tuah Jaya di sini (tenis kerusi roda).

Pusat Boling Antarabangsa Melaka (tenpin boling), Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) (bola keranjang berkerusi roda) dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka di Ayer Keroh (futsal dan angkat berat).

Dewan Universiti Teknologi Mara (Uitm) di Alor Gajah (catur), Taman Perbandaran Bukit Serindit (berbasikal), Arena Petanque Hang Jebat Kampung Gelam (patanque), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kota di Ayer Leleh (ping pong), Dewan Bestari MBMB/MSN di Ayer Keroh (badminton). Pada kejohanan lepas, Sarawak dinobatkan sebagai pemenang Piala Semangat OKU dan Piala Jaguh Negeri selepas menjadi kontinjen terbaik temasya sukan dengan mengumpul 227 pingat pada keseluruhan dengan 126 pingat emas, 61 perak dan 40 gangsa.

Anugerah Olahragawan dimenangi Mohd Zamry Sapiee, dari Kuching, Sarawak dalam acara renang S7 (cacat anggota) manakala Olahragawati juga dimenangi atlet Sarawak daripada acara renang, Catherine Timbang Siang dari Semunjan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain