suria

14,000 Tiket Habis Dijual Dalam Masa Dua Jam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14,000 tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Kelantan malam Sabtu bagi peminat di Lembah Klang, habis dijual dalam tempoh dua jam setelah kaunter dibuka pada 9 pagi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Keadaan cuaca yang tidak menentu pada sebelah pagi dengan hujan renyai, nyata tidak menggusarkan ribuan penyokong yang membanjiri perkarangan luar stadium itu untuk mendapatkan tiket, walaupun terpaksa berpayung.

Setelah hujan reda pada 9.30 pagi, ribuan penyokong terus menyerbu kaunter tiket sehingga menyebabkan anggota pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa campur tangan bagi mengawal keadaan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran penjualan tiket pagi ini.

"Keadaan semuanya terkawal kerana para penyokong memberi kerjasama," katanya.

Hamidin berkata keseluruhan 85,000 tiket habis dijual termasuk di Stadium Paroi, Negeri Sembilan dan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

"Saya difahamkan ada di antara penyokong-penyokong ini yang hadir seawal enam pagi semata-mata ingin beratur awal membeli tiket," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga berjaya menangkap dua penjual tiket palsu di Kota Bharu dan merampas lebih 300 tiket berkenaan.

Sementara itu, seorang pegawai kerajaan dari Putrajaya, Zaidi Hassan, 26, berkata beliau tiba awal di perkarangan Stadium Nasional untuk beratur membeli tiket, namun hanya berjaya mendapatkannya dua jam kemudian.

"Saya tiba kira-kira pukul 7 pagi, namun saya terkejut melihat ramai orang telah terlebih dahulu beratur, walaupun pada ketika itu hujan.

"Saya sangat berpuas hati kerana berjaya memperoleh empat tiket, walaupun terpaksa beratur panjang semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlawanan ini," katanya.

Seorang pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Risal Mohd Isa, 28, pula berkata beliau bersyukur kerana berjaya mendapatkan tiket meskipun menjadi pembeli akhir.

"Saya menjadi risau dan hampir berputus asa apabila tiket di kaunter sebelah telah habis dijual.

"Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya apabila berjaya mendapat tiga tiket yang masih ada pada masa itu," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar intitusi pengajian tinggi swasta, Ahmad Aidil Syukri Hamzah, 23, yang tidak berjaya mendapatkan tiket berasa hampa kerana terpaksa pulang dengan tangan kosong.

"Saya telah beratur seawal 9 pagi, tetapi tidak berpeluang menyaksikan pertandingan itu secara langsung. Nampaknya saya terpaksalah menonton di televisyen malam ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain