suria

Konvensyen Industri Sukan Beri Peluang Usahawan Teroka Pasaran

KUALA LUMPUR: Konvensyen Industri Sukan (KISMAS) kali kedua yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok dilihat bakal membuka lebih peluang kepada usahawan tempatan meneroka lebih banyak peluang perniagaan berkaitan sukan di negara ini.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini, konvensyen itu bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat terkini mengenai strategi industri sukan negara selaras dengan Model Baru Ekonomi.

"Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama yang dinamik dari sudut perkongsian pintar, pengetahuan dan kemahiran dengan agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan," katanya.

Konvensyen akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Palace of The Golden Horses Mines Resort City, Khamis.

Buat julung kali juga, KBS turut menganjurkan Malaysia Sport Trade & Golf Resort (MSTGE 2010) mulai 28-31 Okt di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC).

Menurut KBS, penganjuran MSTGE 2010 adalah untuk membina pengetahuan, pendidikan dan kesedaran di kalangan para usahawan berkaitan sukan sebagai suatu peluang menjana ekonomi melalui ekspo yang informatif.

"Sebanyak 150 booth disediakan, yang mensasarkan penggerak-penggerak industri sukan iaitu produk, perkhidmatan dan kemudahan sukan," katanya.

Ekspo dibuka kepada orang ramai sehingga Ahad ini bermula jam 9 pagi hingga 9 malam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain