Siti Zubaidah Sah Tarik Diri - Sukan | mStar

Siti Zubaidah Sah Tarik Diri

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal Malaysia dalam acara pecut 100 meter wanita, Siti Zubaidah Adabi menjadi atlet kebangsaan pertama menarik diri daripada Sukan Komanwel di New Delhi bulan depan, atas alasan kecederaan.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Cawangan Atlet Elit Majlis Sukan Negara (MSN) Arrifin Mohd Ghani.

"Siti Zubaidah Adabi telah memaklumkan perkara itu kepada MSN pagi tadi atas alasan mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari Isnin.

Semalam media melaporkan penarikan diri Siti Zubaidah daripada Sukan Komanwel yang akan berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober depan ekoran kecederaan lama yang dialami di tapak kaki, masih belum pulih sepenuhnya.

Selain daripada faktor kecederaan, prestasinya dikatakan masih belum berada pada tahap terbaik dan hanya akan menyukarkannya untuk bersaing dengan atlet-atlet handalan lain pada temasya di New Delhi.

Siti Zubaidah, yang mempunyai catatan peribadi terbaik dalam acara 100m pecut wanita, 11.81 saat ketika Kejohanan Grand Prix Asia di Pune, India pada Jun, gagal memperbaiki catatan itu pada Kejohanan Terbuka Olahraga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.

Siti Zubaidah layak ke Sukan Komanwel atas tiket kategori B.

Artikel Sebelum

Saya Kecewakan Liverpool: Deschamps

Artikel Berikut

Tenis: Saingan Yew Ming Berakhir

Artikel Berkaitan

Artikel Lain