MUAR: Kejayaan Datuk Lee Chong Wei menjuarai Kejohanan Badminton Super Series Terbuka Jepun dengan mengalahkan musuh tradisinya dari China, Lin Dan, Ahad lepas, diharapkan dapat menjadi perangsang kepada skuad badminton negara untuk memungut pingat emas pada Sukan Komanwel nanti, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.Katanya kemenangan itu membuktikan bahawa jagoan dari China itu boleh dikalahkan bukan sahaja di kejohanan-kejohanan dalam negara, malah di mana-mana gelanggang sekalipun. Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Muar, di sini hari ini beliau berkata apa yang penting ialah Chong Wei perlu mengelak daripada menjadikan kemenangan itu sebagai satu tekanan."Dia (Chong Wei) perlu menjadikannya sebagai satu rangsangan," katanya.Pada perlawanan akhir di kejohanan terbuka Jepun di Tokyo itu Ahad lepas, Chong Wei mencatat kemenangan dengan 22-20, 16-21, 21-17 dalam perlawanan yang sengit dan mendebarkan. - BERNAMA