suria

Badminton Malaysia Punya Peluang Cerah Raih Pingat

NEW DELHI: Jika semuanya berjalan lancar, pasukan badminton Malaysia yang merupakan pilihan utama pada Sukan Komanwel di New Delhi, boleh melangkah ke separuh akhir dengan mudah bagi acara berpasukan berasaskan undian, Khamis.

Malaysia yang mengetuai kumpulan A dilihat tidak mempunyai masalah mengatasi saingan iaitu Australia, Isle of Man, Nigeria dan Seychelles untuk sampai ke peringkat pingat. Pasukan negara juga berpeluang mengulangi kejayaan semasa Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia yang menyaksikan mereka memenangi empat emas (perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran), serta tiga perak (perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu lelaki).

Pasukan tuan rumah India yang merupakan pilihan kedua berada dalam Kumpulan D bersama Barbados, Kenya, Scotland dan Wales.

Kumpulan B pula terdiri daripada Singapura, Jamaica, Ireland Utara, New Zealand dan Sri Lanka, manakala Kumpulan C terdiri daripada England, Falkland Island, Kanada, Mauritius dan Uganda.

Acara badminton akan berlangsung dari 4 hingga 14 Okt di Kompleks Sukan Sri Fort. Undian untuk acara individu akan dibuat akhir bulan ini.

Sukan Komanwel New Delhi akan berlangsung dari 3 hingga 14 Okt ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain