suria

Latihan Di Luar Negara Bukan Satu Pembaziran:Ramlan

KUALA LUMPUR: Atlet elit negara perlu terus menjalani latihan di luar negara kerana mereka perlu latihan dan pendedahan yang sewajarnya, kata Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Justeru katanya, isu pembaziran tidak timbul kerana ianya adalah satu pelaburan yang boleh mendatangkan pulangan yang besar kepada negara.

"Kejayaan atlet mencipta nama di pentas dunia adalah lebih besar nilainya kepada negara berbanding dengan jumlah kos yang dikeluarkan," katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Karim Ibrahim yang mendakwa bahawa pihak Majlis Sukan Negara (MSN) telah melakukan pembaziran apabila membiarkan pelompat pagar negara Noraseela Mohd Khalid terus berada di Jerman, walaupun atlet itu tidak mampu berlatih akibat kecederaan di kaki.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata ramai atlet negara yang berjaya pada tahap dunia menjalani latihan di luar negara termasuk ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David yang berlatih di Amsterdam, Belanda.

Beliau juga menganggap tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar skuad Harimau Muda (bawah 25 tahun) ke Slovakia pada Jun lepas bukan satu pembaziran.

"Hasil daripada program tersebut telah dapat kita semua lihat pada hari ini. Kejayaan terbaru bagi skuad Harimau Muda adalah menewaskan pasukan Korea Selatan pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini," katanya.

Ramlan yang memuji perubahan berani oleh FAM turut berharap agar usaha itu diteruskan.

"Usaha penghantaran atlet berlatih ke luar negara perlu diperhebatkan untuk semua acara sukan. Namun usaha tersebut tidak wajar hanya diletakkan pada bahu pihak kerajaan sahaja," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain