suria

Sherif Othman Perbaharui Rekod Dunia Miliknya

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik dari Mesir, Sherif Othman memperbaharui rekod dunia yang dipegangnya selepas beliau berjaya membuat angkatan 205kg untuk meraih pingat emas dalam kategori lelaki atas 56kg di hari kedua Kejohanan Angkat Berat Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC), yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, Isnin.

Sherif menambah berat yang diangkatnya sebanyak 2.5kg, untuk memperbaharui rekod 202.50kg yang dilakukannya di Sukan Paralimpik Beijing 2008.

"Hari ini saya rasa seperti dunia milik saya selepas berjaya memecahkan rekod sendiri. Saya ingin buktikan yang saya boleh memecahkan satu lagi rekod di Sukan Paralimpik London pada 2012," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Atlet Mesir berumur 28 tahun itu berkata beliau akan berusaha membaiki teknik angkatan sebelum menyertai Sukan Paralimpik London.

Rasool Mohsin dari Iraq pula meraih pingat perak selepas membuat angkatan 197.50kg manakala Nader Moradi dari Iran memperolehi gangsa dengan angkatan 185kg.

Atlet paralimpik Malaysia, Cheok Kon Fatt menduduki tempat ke-11 selepas membuat angkatan 125kg.

Sementara itu dalam kategori lelaki 52kg, walaupun tiga atlet teratas membuat angkatan dengan berat yang sama 167.50kg, namun dari aspek berat badan masing-masing, ia memihak kepada atlet Mesir Ashraf Ibrahim (49.85 kg) untuk memenangi emas, diikuti dengan Qi Feng dari China (50.95kg) dan Hussein Juboori dari Iraq (51.05kg).

Atlet Malaysia Gustin Jenang menduduki tempat ke-12 dengan angkatan 115kg. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain