suria

Gary Nair Dipecat Semua Jawatan Di FAP

GEORGE TOWN: Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) memutuskan untuk memecat Gary Nair sebagai wakil bebas persatuan itu ekoran satu kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini.

Presiden FAP Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata keputusan itu dibuat selepas Gary membuat satu kenyataan yang menjejaskan imej persatuan itu baru-baru ini.

"Mesyuarat majlis membuat keputusan untuk memecat Gary dan sepucuk surat akan dihantar untuk memaklumkan kepadanya tentang keputusan kami," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis FAP di sini, Sabtu.

Katanya Gary juga akan dipecat dari jawatannya selaku pengerusi pertandingan.

Khamis lepas bekas Naib Presiden FAP itu dilaporkan berkata 60 peratus daripada 50 anggota kelab gabungan FAP berpendapat Zahrain gagal melaksanakan tugasnya sebagai presiden dan mahukan beliau meletakkan jawatan.

Zahrain bagaimanapun mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan membenarkan sebarang tekanan dikenakan terhadapnya hanya kerana prestasi pasukan bola sepak Pulau Pinang merudum.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan, kerana jika saya berbuat demikian ia bermakna saya melarikan diri daripada masalah. Kami sudah buat perancangan untuk pasukan negeri bersaing dalam Liga Perdana dan saya berhasrat untuk membuat perubahan pada barisan pemain bagi musim depan," katanya.

Katanya diturunkan ke Liga Perdana bukanlah bererti segalanya sudah berakhir buat Pulau Pinang dan ini dibuktikan oleh pasukan kuat seperti Selangor dan Kedah.

"Mereka juga pernah mengalami kejatuhan sebelum ini tetapi kini mereka kembali menjadi sebuah pasukan yang kuat untuk bersaing dalam arena bola sepak Malaysia," katanya dan menambah jurulatih serta pengurus pasukan akan dikekalkan sehingga musim depan.

Zahrain dilantik sebagai presiden persatuan itu pada penghujung 2008 selepas bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Mohamad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan di pertengahan saingan liga.

Pulau Pinang menduduki tangga tercorot dalam 14 pasukan Liga Super dan akan diturunkan ke Liga Perdana musim depan.

Buat pertama kali dalam sejarah siri Piala Malaysia Pulau Pinang tidak akan bersaing dalam pertandingan berprestij itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain