suria

Skuad Hoki Malaysia Pamer Prestasi Membanggakan Di Perth

MELBOURNE: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek kagum dengan prestasi skuad hoki negara yang sedang melakukan lawatan sambil berlatih ke Perth apabila mereka mengalahkan juara kelab Australia West Australian Thunder Stick 3-1 dalam perlawanan persahabatan semalam.

"Prestasi pasukan kita meningkat dengan begitu ketara dan mereka telah bermain dengan cemerlang.

"Mereka mempamerkan keyakinan diri dan bermain dengan penuh bersemangat serta banyak melakukan serangan," kata Shabery kepada Bernama melalui telefon dari Perth hari ini.

Walaupun pintu gol Malaysia bolos pada awal minit-minit perlawanan, tetapi mereka bangun semula untuk mendapatkan gol penyamaan dan seterusnya menambah satu lagi jaringan untuk menang dengan bergaya, kata beliau.

Shabery berkata lawatan ke Perth merupakan sebahagian daripada persiapan skuad Malaysia untuk menghadapi Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Olimpik di London.

"Kami ingin beri pendedahan yang baik kepada pasukan kita dan memupuk keyakinan mereka," kata beliau.

Pasukan itu akan mengadakan beberapa perlawanan lagi di Perth sebelum pulang ke tanah air. - BERNAMA

Artikel Lain