suria

Siti Safiyah Impi Aksi Di Sukan Asia 2010

KUALA LUMPUR: Pemain tenpin boling kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, yang merangkul kejuaraan pada Kejohonan Boling Ranking Masters Dunia di Naples, Itali tahun lepas, kini giat menjalani latihan untuk Sukan Asia di Guangzhou, China pada November.

Sekiranya terpilih, ini merupakan penampilan pertama Siti Safiyah, 20, di temasya itu.

"Memang ia adalah impian saya untuk beraksi dan menggalas cabaran skuad kebangsaan di Sukan Asia yang akan bermula pada 12 Nov itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Siti Safiyah berkata beliau menjalani latihan sejak awal tahun ini bersama-sama lapan rakan sepasukan di bawah kendalian jurulatih Holloway Cheah. "Namun, senarai akhir enam pemain wanita yang terpilih hanya akan diketahui pada Oktober ini setelah jurulatih membuat penilaian terhadap prestasi kami," katanya.

Siti Safiyah antara pemain muda berbakat yang dilahirkan oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC).

Pada Sukan Asia 2006 di Qatar, skuad tenpin boling kebangsaan merangkul tiga pingat emas dengan dua daripadanya dimenangi dalam acara berpasukan dan perseorangan wanita.

Artikel Lain