suria

Sukma: Selangor Gondol Kedua-dua Emas Acara Kabaddi Berpasukan Lelaki Dan Wanita

MELAKA: Selangor menggondol dua emas bagi acara berpasukan lelaki dan wanita sukan kabaddi pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Kompleks Sukan Batu Berendam di sini petang ini.

Pasukan lelaki Selangor yang dibarisi oleh tiga pemain kebangsaan termasuk ketua pasukan Gabriele Johnson mencapai kemenangan tipis 29-26 menewaskan Negeri Sembilan.

Kedah mendapat pingat gangsa setelah menundukkan tuan rumah Melaka 50-40.

Bagi acara berpasukan wanita, Selangor mudah menewaskan Johor 39-22 sementara Negeri Sembilan memperoleh pigat gangsa mengalahkan Kedah 32-26.

Jurulatih Selangor, R.Akilan berkata pencapaian dua emas itu menepati sasaran sebagaimana yang ditetapkan bagi sukan kabbadi yang julung kali dipertandingkan di peringkat Sukma. "Ianya memenuhi impian setelah tiga bulan pasukan ini berlatih bersungguh-sungguh dan kami berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Selangor dalam memberi kerjasama untuk mencipta kejayaan ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, A.K. Thyagarah melahirkan rasa kecewa berkata pasukannya tewas akibat sikap berat sebelah oleh pengadil perlawanan.

"Penganjur perlu melihat aspek pengadilan dalam hal ini kerana 80 peratus pengadil dalam perlawanan akhir lelaki terdiri daripada para pegawai dari Selangor," katanya sambil menambah sukan kabbadi mempunyai tujuh pengadil dalam sesuatu perlawanan iaitu satu juri, satu referee, dua umpire, satu scorer (pemungut mata) dan dua pembantu scorer.

Katanya anak buahnya pernah menewaskan Selangor dengan pemain yang sama dalam pertandingan Piala Presiden yang diadakan di Puchong, Selangor beberapa bulan lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain