suria

Pengurus Fulham Diumum Pengurus Terbaik 2009/10

PENGURUS Fulham, Roy Hodgson telah dipilih sebagai pengurus terbaik musim ini oleh Persatuan Pengurus-pengurus Liga Inggeris semalam.

Pengiktirafan tersebut diberikan selepas Hodgson berjaya membawa Fulham ke perlawanan akhir Liga Eropah (menentang Atlético Madrid) untuk pertama kalinya dalam sejarah kelab itu musim ini.

Beliau juga berjaya mengemudi kelab London itu menduduki tangga ke-12 liga walaupun dengan bajet yang terhad.

Fulham, yang juga berjaya ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini turut bermain sebanyak 63 perlawanan keseluruhannya musim ini iaitu yang terbanyak untuk mana-mana pasukan Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu, Pengurus Tottenham, Harry Redknapp pula telah dipilih sebagai pengurus terbaik Liga Perdana musim ini selepas berjaya membawa Spurs menduduki tangga ke-4 liga.

Pengerusi Persatuan Pengurus-pengurus Liga, Howard Wilkinson berkata, kejayaan secara keseluruhan Hodgson membimbing sebuah kelab yang sederhana bermula Disember 2007 menjadikannya pilihan ramai pengurus lain untuk mencalonkannya bagi hadiah tersebut.

"Sejak mengemudi Fulham, Roy telah berjaya melakukan transformasi ke atas halatuju dan nasib kelab itu," kata Wilkinson.

"Dia bukan sahaja menyelamatkan mereka daripada terjunam ke Divisyen Satu Liga tetapi berjaya meletakkan Fulham ke tangga yang paling tinggi dalam sejarah kelab itu dan tahun ini di samping berjaya membawa Fulham ke suku akhir Piala FA, kelab itu juga berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Liga Eropah buat pertama kalinya," ujar Wilkinson lagi.

Kata bekas pengurus Leeds United itu, Roy Hodgson adalah seorang yang mendapat bukan sahaja pengiktirafan daripada rakan-rakan pengurus kelab yang lain tetapi juga dihormati dan disegani.

"Dia sebenarnya adalah seorang role model yang baik untuk semua pengurus khususnya pengurus-pengurus muda tentang bagaimana kejayaan boleh dikecapi dengan bajet yang sederhana dan juga pasukan yang kecil," ujar Wilkinson.

Dalam pada itu, Pengurus Newcastle United, Chris Hughton telah terpilih sebagai pengurus tahunan Divisyen Satu Inggeris selepas berjaya membawa balik kelab itu ke Liga Perdana selepas semusim di Divisyen Satu.

Steve McClaren, pengurus berbangsa Inggeris yang berjaya membawa sebuah lagi kelab sederhana, FC Twente untuk menjuari Liga Holland musim ini, telah menerima Anugerah Merit Khas Persatuan Pengurus-pengurus Liga.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain