Chia Tempah Tiket Buat Kali Ketiga Ke Terbuka British - Sukan | mStar

Chia Tempah Tiket Buat Kali Ketiga Ke Terbuka British

PETALING JAYA: Pemain golf nombor satu Malaysia, Danny Chia menempah tiket ke Terbuka British, selepas berkongsi tempat kedua pada Kelayakan Asia untuk Kejohanan Golf Terbuka British di Saujana Golf & Country Club, di sini hari ini.

Pertandingan pusingan kelayakan itu dimenangi Hiroyuki Fujita dari Jepun dengan catatan enam bawah par 66 pada hari ini dengan catatan keseluruhan selama dua hari 11 bawah par 133.

Dalam pusingan akhir hari ini, Chia berkongsi tempat kedua dengan pemain remaja sensasi Korea Selatan dan juara baru Terbuka Malaysia, Noh Seung-yul, dengan catatan keseluruhan 10 bawah par 134.

Chia bermula baik dengan membenam satu eagle pada lubang keempat apabila bola yang dipukulnya jatuh pada jarak 15 kaki dari lubang.

Selain eagle, Chia turut mencatat empat birdie dan dua bogey bagi meraih catatan keseluruhan empat bawah par 68.

"Saya berasa amat gembira dan bangga untuk sekali lagi mewakili Malaysia di Terbuka British. Saya berpuas hati dengan permainan saya selama dua hari ini. Ia merupakan pukulan terbaik yang pernah saya lakukan pada tahun ini.

"Sukar untuk membuat sebarang jangkaan pada The Open itu nanti. Ini merupakan kali ketiga saya akan beraksi di The Open dan cuaca di sana sentiasa berubah. Saya menjangkakan yang terburuk...cuacanya pasti amat dingin," kata Chia.

Kali terakhir beliau beraksi di Terbuka British, juga dikenali sebagai The Open, pada 2005, yang diadakan di St Andrews, Scotland dan di Royal Birkdale, Southport, England pada 2008.

"Tahun ini merupakan edisi ke-150 The Open (15-18 Julai), ia amat istimewa dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya," kata Chia, yang akan mengambil bahagian dalam SAIL Open di New Delhi, India (30 Mac hingga 2 April) dan Air Bagan Myanmar Open di Yangon (8-11 April).

Noh, 18, turut menempah satu daripada empat tiket ke kejohanan tertua dunia itu yang akan berlangsung di St Andrews selepas menamatkan permainan hari ini dengan catatan empat bawah par 68 sebagai susulan kepada 66 semalam.

Turut layak ke St Andrews ialah pemain amatur Korea Selatan, Eric Chun yang mencatatkan satu birdie pada lubang ke-18 untuk menempah tiket ke Terbuka British.

Belum sampai ke lubang terakhir, Chun terikat dengan catatan lima bawah bersama-sama tiga pemain lain.

"Saya tidak pernah begitu gementar dalam hidup saya dan saya gembira kerana semuanya berjalan lancar. Saya benar-benar tenang hari ini dan itu kunci kejayaan saya. Setiap pukulan yang saya lakukan sepanjang dua hari ini adalah sama pentingnya dengan pukulan terakhir saya," kata pemain berumur 20 tahun itu.

KEDUDUKAN PUSINGAN AKHIR:

133 - Hiroyuki Fujita (JPN) 67-66

134 - Noh Seung-yul (KOR) 66-68, Danny Chia (MAS) 66-68

138 - Eric Chun (AM) (KOR) 67-71

(Empat pemain terbaik layak ke The Open)

139 - Kim Dae-Hyun (KOR) 73-66, Keith Horne (RSA) 73-66, Andrew Dodt (AUS) 74-65

140 - Hideto Tanihara (JPN) 72-68, Guido Van Der Valk (NED) 71-69

141 - Tetsuji Hiratsuka (JPN) 73-68, Han Chang-Won (AM) (KOR) 73-68

142 - Lam Chih-Bing (SIN) 73-69, Thaworn Wiratchant (THA) 69-73, David Gleeson (AUS) 74-68

143 - M. Sasidaran (MAS) 72-71, Miles Tunnicliff (ENG) 71-72

144 - Airil Rizman Zahari (MAS) 73-71, Mars Pucay (PHI) 72-72, Yoshinobu Tsukada (JPN) 72-72, Lee Sung (KOR) 70-74. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain