suria

Mohd Zulfahmi Cari Rentak, Tidak Letak Sasaran Tinggi Dalam MotoGP

LONDON: Pelumba kelas 125cc negara, Mohd Zulfahmi Khairuddin tidak meletakkan sasaran yang tinggi apabila beraksi buat kali pertama dalam musim penuh perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia (MotoGP) pada tahun ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu dijadualkan beraksi bersama-sama pasukan dari Itali, I.S.P.A Ongetta untuk 18 siri perlumbaan yang akan bermula di Litar Losail, Qatar, April ini.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pada tahun ini, cuma apa yang penting adalah mencari rentak terlebih dahulu bagi bersaing dengan pelumba-pelumba lain," katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri majlis penjanjian penajaan syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia dengan pemegang hak eksklusif MotoGP, Dorna S.L. di Litar Silverstone, London pada Rabu.

Mohd Zulfahmi berkata beliau akan memberikan aksi terbaik dengan sekurang-kurangnya untuk meraih mata minimum pada setiap perlumbaan yang disertainya pada musim ini.

"Apa pun pengalaman memainkan peranan yang penting dan saya perlu menyertai banyak perlumbaan agar lebih matang dan berkeyakinan apabila beraksi di dalam perlumbaan," katanya.

Pelumba kelahiran Banting itu merupakan pelumba kedua negara yang akan menyertai perlumbaan musim penuh MotoGP selepas Shahrol Yuzy Abdul Hamid yang bersaing di dalam kelas 250cc sebelum ini.

Mohd Zulfahmi kini menjalani latihan di Imola, Sepanyol sejak awal bulan lepas bersama-sama pasukannya, I.S.P.A. Ongetta.

"Terdapat banyak program dan latihan berbeza telah diatur oleh jurulatih seperti bermain tenis, 'mountain bike' dan sebagainya khusus untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kemahiran.

"Walaupun agak kepenatan dengan program latihan yang padat ini, saya tetap akan cuba untuk memberikan aksi terbaik terutamanya apabila beraksi di Litar Sepang pada Oktober ini," katanya.

Mohd Zulfahmi pada tahun lepas beraksi bersama-sama Elly Idzlianizar Ilias berpeluang beraksi di dalam kelas 125cc di Litar Sepang melalui program 'wildcards'.

Kesungguhan dan semangat yang dipamerkan oleh beliau pada perlumbaan itu telah berjaya memikat pasukan I.S.P.A Ongetta sekaligus memberikannya peluang untuk beraksi sepenuhnya pada musim ini. - BERNAMA

Artikel Lain