suria

PSM Jangan Cepat Melenting, Kata Shabery

KEMAMAN: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) diminta supaya tidak cepat melenting sebaliknya perlu duduk berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai cara terbaik untuk meningkatkan prestasi skuad negara dan sukan itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kekecewaan yang diluahkan beliau dan MSN terhadap kekalahan mengaibkan kepada Laos dan Vietnam dalam Sukan SEA baru-baru ini adalah mewakili perasaan dan suara rakyat.

Katanya oleh itu PSM tidak perlu risau dengan kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap persatuan itu sebaliknya perlu bangkit dan maju ke depan dengan membentang program dan perancangan untuk memajukan persatuan itu.

"Buktikan mereka mampu penuhi (sasaran pencapaian), apa nak risau kalau mereka yakin dan tidak ada apa yang hendak disembunyikan (kelemahan), pertahankanlah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Little Champs peringkat Parlimen Kemaman di Kompleks Rakan Muda di sini malam semalam.

Beliau berkata sebarang keputusan mengenai peruntukan sama ada akan dikurangkan atau tidak akan dibuat kemudian nanti, dan ia bukan bergantung kepada MSN semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika mengulas 'perang mulut' antara PSM dan MSN melalui media berhubung isu kemungkinan peruntukan untuk skuad sepak takraw dikurangkan dan digantikan dengan geran tahunan sahaja.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong di media baru-baru ini ekoran prestasi hambar skuad sepak takraw negara dalam Sukan SEA yang sekadar mampu meraih satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara berpasukan dan regu.

Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya dan Ketua Serantanya, Tengku Adnan Tengku Burhanudin sehingga mencabar MSN membubarkan sahaja skuad negara.

PSM sebelum ini dilaporkan menjanjikan pingat emas pada Sukan SEA Laos yang berakhir minggu lepas.

Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata, soal penambahan atau pengurangan peruntukan kepada persatuan sukan bergantung kepada tiga kriteria utama iaitu cara pengurusan, program pembangungan sukan, dan prestasi persatuan itu sendiri.

"Itu adalah Standard Operating Procedure (SOP) dalam menentukan penambahan atau pengurangan peruntukan terhadap manamana persatuan sukan tidak hanya terhadap PSM.

"Sasaran masih ada, Sukan SEA ke 26 nanti diadakan di Indonesia, mereka (PSM) masih ada 18 bulan untuk buat persiapan. Dalam masa yang sama kita juga nak tengok program yang hendak mereka lakukan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain