suria

Tujuh Wakil Badminton Negara Layak Ke Separuh Akhir

VIENTIANE: Tujuh wakil badminton negara berjaya menempah tempat ke pusingan separuh akhir yang akan berlangsung di Gimnasium 1, Kompleks Sukan Nasional hari ini.

Peringkat suku akhir semalam dimulakan dengan persaingan beregu campuran, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty yang menewaskan Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam dari Thailand 19-21, 21-12, 18-21 manakala satu lagi beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menewaskan Devin Lahardi Fitriawan-Lita Nurlita dari Indonesia 21-19, 16-21, 21-14.

Kien Keat-Pei Tty bakal melalui laluan sukar hari ini apabila dijadualkan menentang beregu Indonesia Nova Widianto-Liliyana Natsir yang merupakan beregu pilihan pertama dalam temasya ini manakala Peng Soon-Liu Ying akan bertemu beregu pilihan kedua juga dari Thailand Songphon Anugritayawon-Kunchala Voravichitchakul.

Dalam persaingan perseorangan pertama wanita negara Wong Mew Choo hari ini menang mudah apabila menewaskan Maria Kristin dari Indonesia 21-13, 21-12 dalam masa 35 minit namun laluan Mew Choo hari ini dijangka sukar apabila dijadualkan akan bertembung Salakjit Ponsana.

Seorang lagi perseorangan wanita negara Lydia Cheah bangkit menewaskan Zhang Beiwen dari Singapura 21-19, 21-18 selepas tidak dapat membantu menambah mata buat negara dalam acara berpasukan dua hari lepas.

Menerusi acara beregu wanita Chin Eei Hui-Wong Pei Tty menewaskan Liu Fan Frances-Vanessa Neo dari Singapura 21-11, 23-21 sementara satu lagi pasangan Chong Sook Chin-Woon Khe Wei ditewaskan Shinta Mulia Sari-Yao Lei dari Singapura dengan 19-21, 21-17, 17-21.

Eei Hui-Pei Tty yang diletakkan sebagai beregu pilihan pertama perlawanan bakal berdepan dengan beregu pilihan ketiga dari Indonesia Meiliana Jauhari-Shendy Puspa Irawat.

Acara beregu lelaki menyaksikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Hendra Wijaya-Jeffrey Wong dari Singapura 21-19, 21-6 dalam tempoh masa hanya 21 minit.

Pasangan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari-Mohd Zakry Ab Latif juga berjaya menewaskan pasangan dari Singapura Jonathan Tang-Terry Yeo 21-15, 18-21, 21-10 bagaimanapun laluan beregu negara itu dijangka sukar apabila akan bertemu beregu pilihan pertama dari Indonesia Hendra Setiawan-Markis Kido dalam pusingan separuh akhir esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain