suria

Ganjaran Menanti Skuad Bola Sepak Jika Menang Emas: FAM

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjanjikan ganjaran kepada skuad bawah 23 tahun kebangsaan jika berjaya menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir acara bola sepak lelaki untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA di Laos yang akan berlangsung Khamis ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, perkara itu telah dititahkan Presiden Badan Induk Bola Sepak Kebangsaan, Sultan Ahmad Shah kepadanya pagi tadi.

"Malah kejayaan mereka berjaya ke satu tahap yang lebih tinggi juga akan diberikan ganjaran kerana Tuanku Presiden tetap mengiktiraf usaha mereka itu," katanya kepada pemberita di Wisma FAM di sini hari ini. Azzuddin bagaimanapun berkata, bentuk ganjaran itu akan diberitahu di dalam masa terdekat.

"Selain itu, Tuanku Presiden juga telah berpesan kepada pemain-pemain supaya tidak mudah hilang fokus dan tidak mudah melatah semasa beraksi.

"Mereka juga perlu berdisiplin dan bermain mengikut peraturan kerana di dalam permainan bola sepak pengadil merupakan orang yang paling berkuasa di padang," katanya.

Skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang dibimbing jurulatih K.Rajagobal kini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas negara di peringkat Sukan SEA apabila menewaskan Laos 3-1 pada perlawanan separuh akhir semalam.

Mereka akan turun menentang Vietnam pada perlawanan akhir yang akan berlangsung petang Khamis, pasukan sama yang menewaskan Malaysia 1-3 pada peringkat kumpulan.

Mengulas mengenai perlawanan akhir itu, Azzuddin berkata, ia adalah situasi yang berbeza kerana Rajagobal telah mengenal pasti kelemahan yang berlaku semasa tewas di peringkat kumpulan.

"Pada perlawanan itu juga terdapat kontroversi mengenai beberapa keputusan pengadil dan setelah aduan dibuat oleh kita, pihak penganjur nampaknya telah memperbaikinya.

"Malah pada perlawanan menentang Loas (separuh akhir) semalam, keputusan yang diambil pengadil adalah baik dan seimbang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain