suria

Diana Bong Pertahan Status Emas Wushu Di Sukan SEA Ke-25

VIENTIANE: Eksponen wushu utama kebangsaan Diana Bong Seong Lin berjaya mempertahankan kejuaraannya bagi acara Taolu wanita individu di Sukan SEA ke 25 di International Trade and Convention Centre (ITCCE) Laos di Dompok, di sini hari ini selepas meraih 19.38 mata dalam dua acara.

Beliau mendapat mata dari acara Nanquan (tangan kosong) dan Nandao (dengan alat) yang membantunya merangkul pingat emas kedua selepas menang yang pertama di Sukan SEA Korat pada 2007 di Thailand.

Pingat perak dan gangsa masing-masing dimenangi oleh dua atlet Vietnam Vu Thuy Linh (19.33 mata) dan Pham Hong Ngoc (19).

Ahad lepas, Bong, gadis berusia 24 tahun dari Kuching, Sarawak itu berganding dengan Tai Cheau Xuen hanya mampu merangkul gangsa di acara Duilia wanita (tangan kosong).

Sementara itu, jurulatih wushu kebangsaan Yoong Thong Foong berkata atlet negara masih bersemangat tinggi selepas memenangi dua emas di Kejohanan Wushu Dunia di Toronto, Canada Oktober lepas.

"Kami menjangkakan sekurang-kurangnya tiga lagi emas dari tiga acara esok, Nangun dan Gunshu lelaki, dan Taijijian wanita," katanya.

Acara berkenaan menawarkan lapan pingat emas di sukan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain